Indonesia usul larangan vape selepas trend bahan narkotik dalam cecair vape meningkat
Badan Narkotika Nasional Indonesia mengusulkan larangan terhadap vape atau rokok elektronik di bawah undang-undang narkotik dan bahan psikotropik negara itu.
Seorang lelaki menghisap vape di Jakarta. (Gambar fail: AFP/Bay Ismoyo)
Ini menyusuli keprihatinan yang meningkat mengenai penyalahgunaannya sebagai wadah bagi pengambilan dadah.
"Kami sedang berdepan fenomena pengedaran bahan narkotik dalam bentuk vape atau rokok elektronik secara besar-besaran," kata ketua badan tersebut, Suyudi Ario Seto kepada penggubal undang-undang pada Selasa (7 Apr), seperti dinukil wadah berita tempatan di Indonesia, Kumparan.
Tiada butiran diberikan mengenai bagaimana larangan itu akan dimasukkan ke dalam undang-undang Indonesia.
Encik Suyudi menarik perhatian kepada hasil dapatan makmal Badan Narkotik Nasional Indonesia yang diterbitkan pada Februari lalu, di mana ujian terhadap 341 sampel cecair vape menemukan dapatan yang membimbangkan.
Sekurang-kurangnya 11 vape yang diuji didapati mengandungi sebatian kimia yang biasanya ditemui dalam ganja, manakala satu didapati mengandungi meth, menurut badan narkotika nasional itu sebelum ini.
Lagi 23 sampel mengandungi etomidate, iaitu ubat bius yang baru-baru ini diklasifikasikan pada November tahun lalu sebagai "narkotik Kategori II" di bawah peraturan kesihatan Indonesia.
Menurut wadah berita Jakarta Post, bahan narkotik Kategori II bermakna ia hanya boleh digunakan sebagai ubat pilihan terakhir di bawah pemantauan perubatan yang ketat disebabkan oleh ciri-cirinya yang boleh menimbulkan ketagihan.
Encik Suyudi juga berkata beberapa negara di rantau itu, termasuk Vietnam, Thailand, Singapura, Brunei dan Laos, sudah pun mengharamkan vape.
Malaysia merancang melaksanakan larangan serupa menjelang pertengahan tahun 2026.
Di Singapura, hukuman maksimum bagi kesalahan memiliki, menggunakan, mengimport dan menjual vape dinaikkan secara ketara setelah pindaan terhadap undang-undang diluluskan di parlimen pada Mac.
Di bawah undang-undang baharu, kesalahan bagi pembelian, penggunaan dan pemilikan vape kini boleh dikenakan denda maksimum S$10,000, berbanding S$2,000 sebelum ini.
Vape pertama kali diharamkan di Singapura pada 2018.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.