Skip to main content

Dunia

Indonesia usul jadi tuan rumah hab simpanan minyak ASEAN untuk tingkatkan rizab serantau

Indonesia mengusulkan supaya sebuah hab simpanan minyak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) diwujudkan di negara itu bagi meningkatkan rizab serantau, sedang para pemimpin Asia Tenggara meneliti langkah untuk memperkukuh jaminan tenaga di tengah-tengah konflik berterusan di Timur Tengah.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia usul jadi tuan rumah hab simpanan minyak ASEAN untuk tingkatkan rizab serantau

Menteri Energi dan Sumber Daya Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia, bercakap dalam satu sidang media berhubung dasar pemerintah di Jakarta pada 31 Mac 2026. (Gambar: Facebook/Bahlil Lahadalia)

JAKARTA: Indonesia mengusulkan supaya sebuah hab simpanan minyak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) diwujudkan di negara itu bagi meningkatkan rizab serantau, sedang para pemimpin Asia Tenggara meneliti langkah untuk memperkukuh jaminan tenaga di tengah-tengah konflik berterusan di Timur Tengah.

Menteri Energi dan Sumber Daya Mineral Indonesia Bahlil Lahadalia berkata pada Isnin (11 Mei) bahawa belum ada persetujuan yang dicapai mengenai lokasi hab tersebut, namun negaranya berharap dapat bekerjasama dengan anggota-anggota blok lain iaitu Malaysia, Brunei dan Filipina untuk memajukan usulan berkenaan.

“Kami akan membina kemudahan simpanan di mana-mana sahaja, tetapi saya mengusulkan Indonesia,” kata Encik Bahlil seperti yang dipetik agensi berita negara Antara, sambil menambah bahawa hab minyak serantau itu akan membantu dalam menyediakan bekalan kepada negara-negara Asia Tenggara semasa gangguan bekalan.

“Idea untuk mewujudkan hab simpanan minyak ASEAN adalah satu idea yang baik,” tambah beliau seperti yang dipetik media tempatan.

Kenyataan Encik Bahlil itu dikaitkan dengan lawatannya ke Filipina minggu lalu bersama Presiden Prabowo Subianto bagi menghadiri Sidang Puncak ASEAN ke-48 di Cebu.

Di sidang tersebut, para pemimpin ASEAN mengusulkan idea-idea baharu seperti bekalan simpanan bahan api serantau dan mekanisme kesiapsiagaan jaminan makanan bagi mengurangkan kesan penutupan Selat Hormuz - serta kemungkinan berlakunya kejadian-kejadian yang serupa pada masa hadapan yang boleh menjejaskan bekalan bahan api dan baja yang penting bagi rantau ini.

Mereka memikirkan tentang satu “mekanisme” bagi “takungan” pelbagai produk bahan api yang boleh dikongsikan sesama negara anggota, kata Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr kepada media selepas sidang puncak itu pada Jumaat lalu.

“Situasi sekarang sangat berbeza bagi setiap negara. Sesetengah negara mempunyai lebihan jenis bahan api tertentu. Negara lain pula mengalami kekurangan, dan kami sedang mencuba untuk mengimbangi keadaan itu,” kata Encik Marcos, yang merupakan pengerusi blok 11 anggota itu bagi tahun 2026.

“Dan apabila sesuatu seperti ini berlaku - perang tercetus dan laluan perdagangan seperti Selat Hormuz ditutup, di samping segala kesan yang menyusul - kita mempunyai tempat untuk mendapatkan bekalan kecemasan dengan segera,” tambah beliau.

Keterhubungan elektrik rentas sempadan di rantau ini serta kepelbagaian sumber tenaga turut dibincangkan dalam sidang tersebut.

Secara berasingan, Encik Bahlil turut mengumumkan rancangan bagi satu kemudahan simpanan minyak domestik di sebuah zon ekonomi khas di Sumatra untuk meningkatkan rizab negara Indonesia. Beliau menambah bahawa projek Sumatra itu akan diteruskan walaupun sekiranya Indonesia tidak dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi hab ASEAN tersebut.

Rancangan projek Sumatra itu masih berada di peringkat kajian untuk memahami daya majunya, tambah beliau.

Perang berterusan antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel kini memasuki minggu ke-11 di tengah-tengah gencatan senjata yang rapuh serta penutupan berterusan Selat Hormuz, yang lazimnya mengendalikan satu perlima daripada bekalan minyak dan gas dunia.

Harga minyak melonjak pada Isnin selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata gencatan senjata di Iran kini “dalam keadaan genting” menyusuli maklum balas Tehran terhadap saranan Amerika Syarikat untuk menamatkan perang itu.

Awal dari itu, pada 4 Mac, Encik Bahlil dilaporkan berkata kementerian tenaga sebelum ini menjalankan kajian daya maju bagi sebuah kemudahan strategik minyak di Pulau Nipa di Kepulauan Riau, dan menyasarkan untuk memulakan pembinaan tahun ini, menurut portal berita tenaga Indonesia, Petromindo.com.

Encik Bahlil menambah bahawa rancangan pembangunan kemudahan simpanan itu sudah dilaporkan kepada Presiden Prabowo, yang menasihatkan agar rancangan tersebut dilaksanakan dengan secepat mungkin, lapor Petromindo.

“Ini soal kelangsungan hidup. Jika kita mahukan jaminan tenaga, kita mesti menangani isu-isu utama dengan segera supaya kita tidak terus bergantung kepada pihak lain,” kata Encik Bahlil, sambil menambah bahawa para pelabur sudah dikenal pasti, dengan pembiayaan daripada sumber-sumber domestik dan antarabangsa, tidak termasuk Amerika Syarikat.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita