Indonesia umum pakej ekonomi bagi kurangkan kesan kenaikan cukai VAT
Indonesia memperkenalkan satu pakej ekonomi bertujuan untuk meredakan kesan kenaikan cukai nilai tambah atau VAT ke atas barangan dan perkhidmatan mulai 1 Januari 2025.
Pakej rangsangan bernilai lebih AS$50 bilion (S$67.9 bilion) itu bertujuan mengukuhkan kuasa berbelanja golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang semakin melemah.
Menetap di Indonesia bakal menelan kos yang lebih tinggi pada tahun baharu, dengan cukai nilai tambah atau VAT dinaikkan kepada 12 peratus daripada 11 peratus sekarang.
Menurut para pegawai, kenaikan cukai tersebut memainkan peranan penting dalam membiayai pelbagai program pemerintah, sekali gus mengurangkan pergantungan kepada hutang luar negara.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto berkata kadar baharu itu tidak dikenakan ke atas barangan yang diperlukan orang ramai atau apa yang boleh dianggap sebagai keperluan asas penting.
Namun jenis lebih "premium" bagi sebilangan keperluan asas seperti beras, buah-buahan, daging dan produk kesihatan antara lain, tetap dikenakan cukai sebanyak 12 peratus.
Bagi kebanyakan rakyat Indonesia, perubahan itu membimbangkan dan kurang jelas.
Pihak berkuasa Indonesia Isnin lalu mengumumkan satu siri pakej rangsangan ekonomi bernilai lebih AS$50 bilion (S$67.9 bilion) untuk 2025.
Tujuannya, mengurangkan kesan kejutan ke atas ekonomi dan mengatasi kelemahan kuasa berbelanja golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Turut diumumkan, pakej khas untuk golongan berpendapatan rendah, di mana pemerintah akan menanggung VAT mereka.
Walaupun terdapat pelbagai usaha untuk meredakan tamparan kepada ekonomi, para penganalisis berpendapat, lebih banyak masih perlu dilakukan.
"Diskaun tarif elektrik itu hanya berjalan selama 2 bulan, sementara kenaikan dari PPN 12 peratus - ini sangat panjang, jangka panjang.
"Selain itu juga, beberapa stimulus hanya melanjutkan dari stimulus yang sudah ada sebelumnya.
"Misalnya PPN untuk perumahan, kenderaan elektrik, dan bahkan yang menarik, ketika pemerintah bicara soal keberpihakan pajak atau fiskal, justeru yang diberikan stimulus besar itu adalah kereta hibrid.
"Sementara kereta hibrid ini adalah orang kaya ataupun kelas atas yang menggunakan mobil hybrid. Sehingga ini bercanggah dengan dasar untuk melindungi daya beli kelas menengah yang rentan," kata Pengarah Eksekutif di Pusat Ekonomi & Pengajian Undang-Undang, Bhima Yudhistira Adhinegara.
Menurut para pengamat industri, perlu ada satu rangka kerja untuk menentukan dengan lebih jelas, barangan mana yang tertakluk kepada kenaikan cukai dan bahawa, Indonesia berpotensi menghadapi kadar inflasi lebih tinggi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.