Indonesia tubuh Perminas urus nadir bumi
Seorang pekerja buruh bekerja di tapak lombong logam nadir bumi di wilayah Jiangxi pada 14 Mac 2012. (Gambar: Reuters)
JAKARTA: Indonesia memutuskan untuk tubuhkan sebuah syarikat milik pemerintah atau Badan Usaha Milik Negara (BUMN) baharu yang dikenali sebagai Perusahaan Mineral Nasional (Perminas) bagi menguruskan sumber mineral nadir bumi strategik di seluruh negara.
Menteri Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi berkata arahan itu datang secara langsung daripada Presiden Prabowo Subianto yang mengarahkan dana kekayaan negara Indonesia, Danantara, untuk menyelia pembentukannya.
“Pemerintah mengenal pasti beberapa kawasan perlombongan untuk diletakkan di bawah Perminas, termasuk lombong emas Martabe di Sumatra Utara, yang sebelum ini dikendalikan oleh Agincourt Resources, yang lesen operasinya dibatalkan baru-baru ini atas dakwaan pelanggaran peraturan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh agensi berita ANTARA pada Jumaat (30 Jan).
Agincourt Resources merupakan antara 28 syarikat yang dibatalkan lesen operasi kerana didakwa melanggar peraturan penggunaan hutan menyusuli kejadian banjir besar dan tanah runtuh yang melanda tiga wilayah di utara Sumatra pada November lalu, yang mengorbankan lebih 1,000 nyawa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Danantara Indonesia Rosan Roeslani berkata Perminas akan memberi tumpuan kepada mineral nadir bumi, sekali gus membezakan peranannya daripada syarikat pegangan perlombongan milik negara sedia ada, MIND ID.
Mengenai potensi pengambilalihan kawasan perlombongan Martabe, beliau berkata pihaknya masih menunggu arahan lanjut daripada pemerintah pusat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.