Indonesia tolak ikrar sifar pembasmian hutan COP26 sebagai 'tidak wajar, tidak adil'
Menteri sekitaran Indonesia menolak satu pelan global untuk menghentikan pembasmian hutan menjelang 2030 dan menyifatkannya sebagai "tidak wajar dan tidak adil".

Kemusnahan hutan Amazon di Brazil pada skala besar-besaran (Gambar fail: AFP)
JAKARTA: Menteri sekitaran Indonesia menolak satu pelan global untuk menghentikan pembasmian hutan menjelang 2030 dan menyifatkannya sebagai "tidak wajar dan tidak adil".
Ini selang beberapa hari sahaja selepas negara itu membuat ikrar bagi sifar pembasmian hutan bersama lebih 100 negara yang lain.
Indonesia menempatkan sepertiga hutan hujan di dunia.
Persetujuan yang dibuat pada lewat Isnin (1 Nov) di sidang puncak iklim COP26 bercanggah dengan pelan pembangunan Indonesia dan matlamat global itu harus diperhalusi, kata Menteri Siti Nurbaya Bakar yang menghadiri sidang tersebut di Glasgow.
"Memaksa Indonesia untuk (mencapai) sifar pembasmian hutan pada 2030 jelas tidak wajar dan tidak adil," menurut catatan beliau di Twitter pada Rabu (3 Nov).
"Pembangunan besar dalam era Presiden Jokowi tidak boleh dihentikan atas nama pengeluaran karbon atau atas nama pembasmian hutan," kata beliau sambil merujuk kepada pemimpin Indonesia, Joko Widodo menerusi nama singkatannya.
Kenyataan Cik Siti Nurbaya itu menggariskan cabaran-cabaran yang bakal dihadapi berhubung matlamat pembasmian hutan sejagat, memandangkan hanya tiga negara - Indonesia, Brazil dan Republik Demokratik Congo - yang memiliki 85 peratus hutan di dunia secara keseluruhan.
Cik Siti Nurbaya berkata definisi pembasmian hutan sangat meluas, maka itu menggunakan piawai Eropah bagi Indonesia tidak adil.
Beliau sebaliknya menekankan matlamat yang ditetapkan Indonesia sendiri, di mana sektor perhutanan akan menyerap lebih banyak gas rumah hijau daripada yang dikeluarkan menjelang 2030, dengan mengurangkan pembasmian hutan dan memulihara hutan-hutan.
Bagaimanapun, kenyataan itu daripada sebuah negara yang mempunyai peranan utama dalam usaha menyelamatkan hutan hujan tropika dunia, mencetuskan kemarahan di media sosial Indonesia dan dalam kalangan aktivis yang memperjuangkan alam sekitar.
"Kenyataan itu benar-benar mengecewakan," kata ketua kempen hutan Indonesia Greenpeace, Kiki Taufik, sambil menyifatkannya sebagai "bercanggah dengan perisytiharan tersebut".
"Rakan kepada alam sekitar atau wang? Puan," komen pengguna Instagram, Bayu Satrio Nugroho, di catatan Cik Siti Nurbaya.
Seorang jurucakap kementerian sekitaran tidak membalas permintaan untuk memberi komen.
Meski Indonesia mempunyai perancangan untuk menghentikan operasi loji kuasa arang batu dan mencapai sasaran sifar pengeluaran gas karbon menjelang 2060, untuk tidak menyentuh hutan sama sekali menimbulkan cabaran.
Negara itu merupakan pengeksport terbesar minyak sawit di dunia. Pada 2019 sahaja, sebahagian kawasan hutan dan tanah lain yang saiznya separuh saiz Belgium dibakar untuk membuat ladang.
Bagaimanapun, sejak 2018 pihak berkuasa sudah menggantung pengeluaran permit bagi ladang-ladang baru dan mengurangkan kegiatan pembasmian hutan sehingga 75 peratus tahun lalu.
Indonesia juga berusaha memperluaskan industri pengangkutan nikel dan elektriknya dan ini memerlukan lebih banyak tanah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.