Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia tingkatkan amaran gunung berapi Semeru ke tahap tertinggi

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia tingkatkan amaran gunung berapi Semeru ke tahap tertinggi

Gambar: AFP/Agus Harianto

Diterbitkan : 04 Dec 2022 04:53PM Dikemas Kini : 04 Dec 2022 08:49PM
JAKARTA: Gunung Semeru di Indonesia meletus pada Ahad (4 Dis) dan memuntahkan abu ke udara. Ia mendorong pihak berkuasa untuk meningkatkan status amaran gunung berapi itu ke tahap tertinggi.

Letusan gunung tertinggi di pulau utama Jawa Indonesia sekitar 800 kilometer (km) tenggara ibu kota Jakarta menyebabkan orang ramai di kampung berhampiran terpaksa melarikan diri.

Amaran yang dinaikkan itu bermakna bahaya semakin mengancam penempatan penduduk dan aktiviti gunung berapi sudah meningkat, menurut jurucakap Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi, Hendra Gunawan kepada penyiar Kompas TV.

"Lahar panas" dari puncak gunung berapi itu mengalir ke bawah selepas ia meletus, kata jurucakap Agensi Bencana Negara, Abdul Muhari.

Tiada korban jiwa ataupun kecederaan yang dilaporkan sejurus selepas letusan itu.

Namun, Encik Gunawan memberi amaran kepada penduduk berhampiran supaya menjauhi kawasan dalam jarak lapan kilometer dari gunung berapi itu selepas ancaman dinaikkan ke tahap empat.

Tempat perlindungan juga disediakan untuk penduduk yang dipindahkan, menurut pegawai.
"Ramai orang sudah mulai turun," kata Thoriqul Haq, ketua pentadbiran tempatan Lumajang, di mana gunung berapi itu terletak, memberitahu stesen penyiar Kompas TV.

Kepulan asap dari gunung berapi itu mencapai ketinggian 15km, menurut Agensi Meteorologi Jepun, yang memantau kemungkinan berlakunya tsunami di sana.

"Agensi cuaca Jepun memberi amaran bahawa tsunami boleh melanda pulau Miyako dan Yaeyama di wilayah selatan Okinawa," lapor agensi berita Kyodo.

Agensi itu menyatakan tsunami mungkin akan melanda pada pukul 2.30 petang pada waktu tempatan namun tidak ada laporan kemusnahan sejam selepas ia berlaku.

Internet terputus dan isyarat telefon tidak lancar selepas letusan itu, menurut seorang wartawan AFP.

Agensi penyelamat tempatan mengedarkan pelitup percuma kepada orang awam disebabkan ancaman udara tercemar terhadap para penduduk.

Gunung Semeru kali terakhir meletus tepat setahun lalu dan meragut nyawa sekurang-kurangnya 51 orang.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan