Indonesia tingkat operasi udara bendung kebakaran hutan di 6 wilayah
Operasi armada udara memberi tumpuan kepada Riau, Jambi, Sumatra Selatan, Kalimantan Selatan, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Barat. (Gambar fail: Reuters)
- BNPB Indonesia mengerahkan berpuluh-puluh helikopter dan pesawat ke Sumatra dan Kalimantan untuk memadam serta mencegah kebakaran hutan dan tanah.
- Operasi udara memberi tumpuan kepada enam wilayah utama, dengan Sumatra Selatan dan Kalimantan Barat menerima aset terbanyak.
- Pasukan darat terdiri daripada pihak berkuasa tempatan, tentera, polis dan sukarelawan turut terlibat bagi memastikan keberkesanan operasi.
- Keberhasilan operasi bergantung kepada kehadiran awan hujan dan kerjasama BNPB dengan BMKG untuk pemantauan cuaca secara masa nyata.
Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Kebencanaan BNPB, Berton SP Panjaitan, berkata aset-aset udara berkenaan ditempatkan mengikut keperluan operasi di enam wilayah.
Beliau berkata operasi armada udara itu memberi tumpuan kepada Riau, Jambi, Sumatra Selatan, Kalimantan Selatan, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Barat.
Di Pulau Sumatra, Sumatra Selatan menerima sokongan aset udara paling banyak melibatkan sebuah helikopter peronda, sebuah pesawat Operasi Modifikasi Cuaca (OMC) dan tujuh helikopter bom air.
Riau pula dilengkapi sebuah helikopter peronda, sebuah pesawat OMC dan lima helikopter bom air, manakala Jambi menerima sebuah helikopter peronda, sebuah pesawat OMC serta dua helikopter bom air.
Di Pulau Kalimantan, Kalimantan Barat menerima sokongan aset udara paling banyak melibatkan dua helikopter peronda, sebuah pesawat OMC dan lima helikopter bom air.
BNPB turut menempatkan sebuah helikopter peronda, sebuah pesawat OMC dan empat helikopter bom air di Kalimantan Tengah, manakala Kalimantan Selatan menerima sebuah helikopter peronda, sebuah pesawat OMC serta tiga helikopter bom air.
Encik Berton berkata operasi udara itu masih memerlukan sokongan pasukan darat yang melibatkan anggota pihak berkuasa tempatan, tentera, polis dan sukarelawan bagi memastikan usaha pemadaman berjalan dengan berkesan.
Menurutnya, keberkesanan operasi bom air dan OMC turut bergantung kepada kehadiran awan hujan yang sesuai serta ketersediaan air di kawasan terjejas.
Sehubungan itu, BNPB terus bekerjasama dengan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) bagi memantau pertumbuhan potensi awan hujan secara masa nyata untuk menyokong pelaksanaan operasi OMC.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.