Indonesia tidak akan kenakan tarif di Selat Melaka, kata Menteri Luar Negeri, Sugiono
Indonesia tidak akan mengenakan tarif ke atas kapal-kapal yang melalui Selat Melaka kerana tindakan itu tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa, kata Menteri Luar Negeri Indonesia, Sugiono pada Khamis (23 Apr).
Sebuah kapal kontena memasuki Selat Singapura menuju ke Selat Melaka. (Gambar: REUTERS/Henning Gloystein)
Menurut agensi media Indonesia Antara, Encik Sugiono dipetik dalam satu temu bual media di Jakarta sebagai berkata Indonesia menghormati undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).
“Indonesia berada dalam kedudukan di mana, sebagai sebuah negara kepulauan, kami mesti menghormati undang-undang antarabangsa, khususnya UNCLOS.
“Dari segi sejarah, UNCLOS merangkumi satu pemahaman dan perjanjian yang mengiktiraf kami sebagai negara kepulauan, selagi kami tidak mengenakan tol atau bayaran ke atas selat dalam wilayah kami,” kata Encik Sugiono.
“Kami mengharapkan laluan yang bebas. Sebagai negara perdagangan, kami menyokong kebebasan pelayaran. Saya percaya terdapat komitmen daripada banyak negara untuk mewujudkan laluan perkapalan yang bebas, neutral dan saling menyokong,” lapor Jakarta Globe yang memetik beliau.
“Jadi, tidak. Indonesia tidak berada dalam kedudukan untuk (mengenakan tol).”
Kenyataan Encik Sugiono dibuat sehari selepas Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa, membangkitkan kemungkinan untuk berbuat demikian.
Pada Rabu, Encik Purbaya berkata idea untuk mengenakan cukai itu diilhamkan daripada pelan Iran untuk mengenakan bayaran ke atas kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz. Selat tersebut, yang menghubungkan Teluk Parsi dengan Lautan Hindi, mengendalikan sekitar suku daripada perdagangan minyak dunia yang melalui jalan laut.
Media tempatan memetik beliau sebagai berkata bahawa cadangan itu selaras dengan arahan Presiden Prabowo Subianto supaya Indonesia bertindak sebagai “pemain utama” di persada ekonomi global.
Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah kebimbangan mengenai penutupan Selat Hormuz, di mana sekatan sedemikian mencetuskan kebimbangan berhubung penggunaan laluan perdagangan sebagai senjata.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.