Skip to main content

Dunia

Indonesia, Thailand ikrar terus sokong usaha ASEAN pulihkan keamanan di Myanmar

Indonesia dan Thailand berikrar untuk terus menyokong usaha diterajui ASEAN bagi memulihkan keamanan di Myanmar menerusi pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC).

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia, Thailand ikrar terus sokong usaha ASEAN pulihkan keamanan di Myanmar

Presiden Indonesia Prabowo Subianto (kanan) dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul semasa sidang media di Istana Merdeka, Jakarta, pada 3 Ogos 2026. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 04 Aug 2026 05:05PM
JAKARTA: Indonesia dan Thailand berikrar untuk terus menyokong usaha diterajui ASEAN bagi memulihkan keamanan di Myanmar menerusi pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC).

Ia termasuk menggalakkan dialog inklusif, menghentikan keganasan dan memperluaskan akses kepada bantuan kemanusiaan.

Komitmen itu dibuat semasa Rundingan Pemimpin kali kedua antara Presiden Indonesia Prabowo Subianto dengan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul di Istana Merdeka, Jakarta, pada Isnin (3 Ogos).

"Kami menegaskan semula kepentingan mengekalkan perpaduan dan kepentingan ASEAN sebagai tonggak keamanan, kestabilan serta pembangunan ASEAN," kata Encik Prabowo dalam sidang media bersama.

Beliau berkata Indonesia dan Thailand akan terus bekerjasama untuk menggalakkan ASEAN memainkan peranan membina dalam mencapai keamanan mampan di Myanmar.

PERKUKUH USAHA BANTERAS JENAYAH RENTAS SEMPADAN

Kedua-dua negara turut bersetuju memperkukuh kerjasama pertahanan dan keselamatan, termasuk usaha membanteras jenayah rentas sempadan.

Ia termasuk operasi sindiket penipuan online, menerusi perkongsian maklumat risikan, pengesanan kewangan, siasatan bersama serta penyelarasan penguatkuasaan undang-undang.

Encik Prabowo berkata Indonesia dan Thailand perlu terus memainkan peranan dalam memperkukuh daya tahan dan kerelevanan ASEAN sedang dunia berdepan ketidaktentuan serta cabaran keselamatan bukan tradisional yang semakin kompleks.

Kedua-dua negara juga bersetuju menyokong pembangunan Mekanisme Rujukan Rentas Sempadan (TRM).

Mekanisme itu bertujuan mempercepat usaha mengenal pasti dan melindungi mangsa jenayah rentas sempadan serta memastikan mereka dihantar pulang dengan selamat dan bermaruah.

Encik Prabowo turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Thailand kerana membantu membawa pulang hampir 1,000 rakyat Indonesia yang menjadi mangsa sindiket penipuan online.

KERJASAMA PERTAHANAN DIPERLUAS

Encik Anutin pula berkata Thailand akan meneruskan latihan ketenteraan bersama secara berkala, perkongsian maklumat dan kerjasama keselamatan maritim dengan Indonesia.

Beliau turut mencadangkan kerjasama industri pertahanan diperluaskan, termasuk pembekalan 36 kenderaan perisai beroda amfibia kepada Indonesia.

Selain itu, Encik Anutin menggesa kerjasama lebih erat bagi membanteras jenayah rentas sempadan, khususnya operasi penipuan online, pemerdagangan manusia dan penyeludupan dadah.

Usaha itu boleh dilaksanakan menerusi penguatkuasaan undang-undang yang dipertingkatkan, perkongsian maklumat risikan dan pembangunan keupayaan.

Thailand juga bersedia memperkukuh kerjasama serantau dalam kalangan negara ASEAN bagi membanteras rangkaian penipuan online dan menangani penyeludupan hidupan liar rentas sempadan.

Encik Anutin tiba di Jakarta pada Isnin bagi lawatan rasmi pertamanya ke Indonesia sejak menjadi Perdana Menteri Thailand ke-32 pada September 2025.

Lawatan itu juga merupakan lawatan pertama seorang Perdana Menteri Thailand ke Indonesia dalam tempoh 15 tahun.
Sumber : Bernama/FD/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita