Skip to main content

Dunia

Indonesia tegaskan semula larangan import beras susuli penghantaran haram

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia tegaskan semula larangan import beras susuli penghantaran haram

Gambar hiasan beras. (Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 24 Nov 2025 10:54PM Dikemas Kini : 24 Nov 2025 10:56PM
JAKARTA: Pemerintah Indonesia menegaskan komitmennya untuk mempercepatkan usaha mencapai keterjaminan beras negara dan menghentikan sebarang aktiviti import yang melanggar dasar pemerintah negara itu, lapor agensi berita ANTARA.

Menteri Pertanian Andi Amran Sulaiman berkata demikian pada Isnin (24 Nov) susulan penemuan 250 tan beras yang dibawa masuk ke Sabang, Aceh secara haram.

"Presiden Prabowo (Subianto) telah menegaskan bahawa import adalah dilarang kerana kita mempunyai bekalan yang mencukupi," kata Encik Sulaiman.

Pemerintah akan menghalang sebarang cubaan membawa masuk beras, khususnya melalui saluran tidak sah, katanya.

Beliau menegaskan Indonesia tidak mempunyai alasan untuk mengimport beras, sambil merujuk kepada stok negara yang kukuh dan unjuran pengeluaran 2025 sebanyak 34.77 juta tan berdasarkan data Statistik Indonesia.

Beliau turut mendakwa bahawa larangan import itu menyumbang kepada penurunan harga beras global dan berkata beras dari Vietnam dan Thailand menjadi lebih murah kerana langkah yang diambil Indonesia.

"Pemimpin negara lain telah meminta Presiden Prabowo supaya mengeksport ke Indonesia, walaupun dalam jumlah kecil.

"Kami menjelaskan bahawa beras di negara ini mencukupi, malah kami menganggarkan harga beras pada hujung tahun akan menjadi yang tertinggi," kata beliau.

Mengulas mengenai kemasukan haram seberat 250 tan itu, beliau berkata pemerintah bertindak segera selepas menerima maklumat awal tentang kemasukan beras tanpa permit.

Beliau menambah pihaknya bekerjasama dengan agensi berkaitan dan segera menyita penghantaran berkenaan.

Pada Ahad (23 Nov), Encik Sulaiman mengumumkan sebuah gudang milik PT MSG yang didakwa mengimport beras dari Thailand tanpa kebenaran disita.

"Kami telah menyita kemudahan itu dan kami meminta agar pihak bertanggungjawab disiasat," katanya.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita