Indonesia tawar sokongan ekoran gempa Myanmar, Thailand

Bangunan 33 tingkat tersebut musnah di ibu kota Bangkok, Thailand ekoran gempa bumi kuat yang melanda pada tengah hari Jumaat (28 Mac). (Gambar: AP)
Gempa bumi dengan magnitud 7.7 pada skala Richter melanda Myanmar pada Jumaat (28 Mac), menyebabkan kerosakan infrastruktur yang ketara dan mendorong pemerintah tentera Myanmar mengisytiharkan darurat.
Gegaran turut dirasai di bandar berdekatan, termasuk Chiang Mai, Bangkok dan Bandar Ho Chi Minh, mengakibatkan kemusnahan meluas serta mengorbankan lebih 150 orang, terutamanya di Myanmar.
Dalam kenyataan di akaun rasmi X beliau, Presiden Prabowo berkata: “Saya mengucapkan takziah yang mendalam atas gempa bumi dahsyat yang melanda Myanmar dan Thailand. Doa dan ingatan kami bersama rakyat kedua-dua negara pada masa yang sukar ini.”
Beliau menambah bahawa Indonesia "bersedia untuk menyediakan semua sokongan yang diperlukan untuk usaha pemulihan di kawasan yang terjejas."
Indonesia sebelum ini telah menghantar 15 anggota pasukan perubatan serta 50.5 tan bekalan, termasuk bahan perubatan, makanan dan logistik, bagi membantu Vanuatu menyusuli gempa bumi pada 17 Disember tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, Kementerian Luar Indonesia mengesahkan bahawa tiada warganya yang terjejas dalam gempa bumi di Myanmar.
Kedutaan Indonesia di Yangon sedang memantau dengan rapat situasi dengan pihak berkuasa tempatan. Kira-kira 250 rakyat Indonesia di Myanmar, termasuk di Mandalay, dilaporkan selamat.
Di Thailand, di mana seramai 2,379 rakyat Indonesia menetap, kedutaan di Bangkok tidak menerima sebarang laporan mengenai warganya yang terjejas akibat gempa bumi itu, menurut kenyataan kementerian.
Pihak berkuasa di Myanmar dan Thailand terus menilai tahap kemusnahan sepenuhnya, dengan bantuan antarabangsa mula tiba.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.