Skip to main content

Dunia

Indonesia tawar jadi pengantara Amerika-Iran

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia tawar jadi pengantara Amerika-Iran
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto. (Gambar: REUTERS)
JAKARTA: Indonesia menawarkan untuk memudahkan cara dialog antara Amerika Syarikat dan Iran menyusuli kegagalan rundingan yang membawa kepada peningkatan ketenteraan di Timur Tengah.

Kementerian Luar Indonesia dalam catatannya yang dimuat naik ke platform media sosial rasminya pada Sabtu (1 Mac) memaklumkan bahawa ketegangan yang semakin meningkat di Timur Tengah berpotensi mengganggu kestabilan serantau serta keamanan dan keselamatan dunia.

“Pemerintah Indonesia, khususnya Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyatakan kesediaan beliau untuk memudah cara dialog bagi mewujudkan semula keadaan keselamatan yang kondusif dan sekiranya dipersetujui oleh kedua-dua pihak, Presiden Indonesia bersedia berkunjung ke Tehran untuk melaksanakan pengantaraan,” menurut kementerian itu.

Ketegangan di Timur Tengah meningkat secara mendadak apabila Amerika dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu (1 Mac), dengan Israel menyifatkannya sebagai “serangan awal” terhadap musuh ketatnya bagi menghapuskan ancaman.

Serangan itu menyusuli peningkatan ketara kehadiran ketenteraan Amerika di rantau berkenaan yang bertujuan memberi tekanan kepada Tehran berhubung program nuklearnya, serta tunjuk perasaan besar-besaran yang berlaku baru-baru ini.

Indonesia menyatakan kekecewaan mendalam terhadap kegagalan rundingan itu dan menggesa semua pihak supaya menahan diri sebaik mungkin dengan mengutamakan dialog dan diplomasi dalam menyelesaikan perbezaan.

“Indonesia sekali lagi menegaskan kepentingan menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah setiap negara serta menyelesaikan perbezaan melalui cara yang aman,” menurut kementerian luarnya.

Kementerian itu turut menasihatkan rakyat Indonesia di kawasan terjejas supaya bertenang dan berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan serta sentiasa berhubung rapat dengan Kedutaan Indonesia yang berdekatan.
 
Sumber : Bernama/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita