Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia tarik balik larangan eksport minyak sawit mulai 23 Mei

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia tarik balik larangan eksport minyak sawit mulai 23 Mei

Presiden Indonesia Joko Widodo. (Gambar fail)

JAKARTA: Indonesia akan menarik balik larangan eksport minyak sawit minggu depan, kata Presiden Joko Widodo hari ini (19 Mei), mengurangkan tekanan terhadap pasaran minyak sayuran global yang mencecah harga puncak kerana penggantungan, perang di Ukraine dan pemanasan bumi.

Negara kepulauan itu mengeluarkan larangan bulan lalu untuk mendapatkan bekalan komoditi itu yang digunakan dalam pelbagai barangan daripada taburan coklat kepada kosmetik, dalam menghadapi kekurangan dalam negeri, seperti dinukil BH Online.

"Berdasarkan bekalan dan keadaan minyak masak dan memandangkan terdapat 17 juta orang dalam industri minyak kelapa sawit; petani dan pekerja sokongan lain, saya memutuskan eksport minyak masak akan dibuka semula pada Isnin, 23 Mei.

"Pemerintah akan tetap memantau segala-galanya dengan ketat bagi memastikan permintaan akan dipenuhi dengan harga mampu milik," katanya semasa taklimat online.

Pihak berkuasa sudah menguatkuasakan larangan eksport dengan ketat, dengan tentera laut Indonesia merampas sebuah kapal tangki yang membawa minyak sawit keluar dari negara itu yang melanggar arahan awal bulan ini.

Selepas larangan itu dikuatkuasakan, Presiden Jokowi berkata membekalkan 270 juta penduduk negara itu adalah 'keutamaan tertinggi' pemerintahnya.

Namun, Jakarta semakin tertekan untuk mengawal harga yang sudah melambung tinggi selepas pencerobohan Rusia ke atas kuasa pertanian Ukraine.

Pengeluar minyak sawit mengadakan bantahan minggu lalu di tengah-tengah Jakarta dan beberapa bandar di Indonesia dengan mengadu bahawa harga buah kelapa sawit sudah menurun secara mendadak, seperti dinukil BH Online.

Pemimpin Indonesia itu berkata, beliau membatalkan penggantungan itu kerana bekalan domestik dan harga minyak masak bertambah baik sejak larangan itu dikuatkuasakan pada 28 April.

Menurut Presiden Jokowi, harga minyak sudah jatuh dari 19,800 rupiah (S$1.87) seliter kepada kira-kira 17,200 rupiah (S$1.62) sejak larangan itu.

Bekalan minyak masak tempatan juga meningkat tiga kali ganda selepas larangan dari 64,500 tan sebulan kepada 211,000 tan, kata beliau.

Tokoh industri memuji keputusan untuk menyambung semula eksport.

Eddy Martono, setiausaha agung Persatuan Minyak Sawit Indonesia (GAPKI) berkata pertubuhan itu 'sangat berterima kasih kepada pemerintah, terutama kepada presiden' kerana menarik balik larangan itu.

"Adalah hakikat bahawa keadaan di darat sangat sukar kerana tangki sudah penuh. Kami berharap dengan pembukaan semula eksport, pengeluaran minyak sawit dapat kembali normal."

Pengerusi Persatuan Peladang Kelapa Sawit, Gulat Manurung turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Jokowi dan berkata pekebun kelapa sawit akan membayar balik keputusannya dengan meningkatkan bekalan domestik, lapor BH Online.

"Kami, pekebun kelapa sawit, berikrar akan membantu memastikan bekalan minyak masak tempatan akan tersedia," kata beliau.

Minyak sawit adalah minyak sayuran yang paling banyak digunakan di Indonesia dan walaupun adalah pengeluar terbesar dunia, negara itu sudah menghadapi kekurangan minyak masak selama berbulan-bulan kerana peraturan yang lemah dan pengeluar enggan menjual dalam negeri.

Kekurangan itu dalam beberapa kes memaksa pengguna untuk beratur berjam-jam di pusat pengedaran, lapor BH online.

Indonesia mengeluarkan kira-kira 60 peratus daripada minyak sawit dunia, dengan sepertiga digunakan oleh pasaran domestiknya.

India, China, Kesatuan Eropah dan Pakistan adalah antara pelanggan eksport utamanya.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan