Skip to main content

Dunia

Indonesia tangguh rancangan tulis semula buku sejarah negara kepada Nov; pengkritik gesa projek dibatal

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia tangguh rancangan tulis semula buku sejarah negara kepada Nov; pengkritik gesa projek dibatal

Menteri Kebudayaan Indonesia Fadli Zon berucap di forum awam berhubung projek buku sejarah negara di Universitas Indonesia di Jakarta pada 25 Julai 2025. (Gambar: Instagram/@fadlizon)

Diterbitkan : 12 Aug 2025 06:35PM Dikemas Kini : 12 Aug 2025 06:36PM
JAKARTA: Pemerintah Indonesia menangguhkan pelancaran projek buku sejarah negaranya yang menimbulkan kontroversi selama kira-kira tiga bulan, meskipun sebilangan pengkritik masih menggesa supaya ia dibatalkan sepenuhnya.

Projek itu pada mulanya dijadual untuk dilancarkan pada Ahad (17 Ogos) sempena Hari Kemerdekaan Indonesia.

Namun buku yang mengandungi 10 jilid itu kini dijadualkan untuk dikeluarkan pada 10 November sempena Hari Pahlawan Nasional.

Hari itu memperingati Pertempuran Surabaya, iaitu konflik sengit pada 1945 antara pejuang negara Indonesia dengan tentera Britain.

Projek penulisan semula sejarah itu dikritik secara meluas oleh pakar sejarah dan aktivis hak asasi manusia kerana "memadam masa lalu negara" serta mengabaikan pelanggaran besar hak asasi manusia.

Menurut media tempatan, buku itu bertujuan menjadi rujukan sejarah negara bagi para pelajar di semua peringkat pendidikan di sana.

“Rancangan kami adalah untuk tetap melancarkan buku itu tahun ini … kerana ia sebahagian daripada siri acara untuk meraikan 80 tahun kemerdekaan Indonesia,” kata Menteri Kebudayaan Fadli Zon, seperti ditukil dalam wawancara bersama Jakarta Post pada 10 Ogos.

Encik Fadli, yang merupakan sebahagian daripada Parti Gerindra pimpinan Presiden Prabowo Subianto, berkata penangguhan itu akan memberi lebih banyak masa untuk "memuktamadkan draf", sambil menambah bahawa ia mungkin memerlukan lagi dua atau tiga pusingan perbincangan awam sebelum diterbitkan.

Menurut Encik Fadli, perbincangan dan forum awam itu dijalankan secara terbuka di empat universiti tempatan: Universiti Indonesia di Jakarta, Universiti Negeri Padang di Sumatera Barat, Universiti Lambung Mangkurat di Kalimantan dan Universiti Negeri Makassar di Sulawesi.

"Kami akan meneruskan (perbincangan awam ini) dengan peminat dan ahli sejarah yang lain," katanya, seperti dilaporkan akhbar Tempo.

Perbincangan di universiti ini berlangsung sejak akhir Julai, menurut Jakarta Post, yang menurut menteri itu menghasilkan "pelbagai cadangan menarik" yang akan memperkayakan karya berkenaan.

Pada bulan lalu, Encik Fadli dilaporkan menolak dakwaan bahawa projek penulisan semula sejarah sedang dilakukan secara tergesa-gesa, sambil menambah bahawa matlamat kementeriannya untuk menyiapkan siri buku 10 jilid itu menjelang Ogos tahun ini bersifat realistik.

Seorang pegawai daripada Kementerian Kebudayaan memberitahu Jakarta Post pada hari yang sama bahawa buku-buku itu kini dalam "peringkat disunting oleh penyunting jilid".

Menurut Encik Fadli, buku-buku itu ditulis oleh 112 sejarawan daripada 34 universiti di seluruh Indonesia, termasuk profesor dan sejarawan veteran.

Semasa bercakap kepada pemberita bulan lalu, menteri kebudayaan itu berkata projek tersebut sepatutnya dihasilkan lebih awal.

"Jika kita tidak menulis sejarah kita sendiri, remaja kita mungkin akhirnya mengenali lebih banyak ilmu tentang sejarah Amerika atau Eropah berbanding Indonesia," katanya, sambil menyifatkan projek itu sebagai hadiah intelektual sempena menandakan 80 tahun kemerdekaan Indonesia.

Antara yang menggesa pemerintah supaya tidak tergesa-gesa menjalankan projek penulisan semula buku sejarah itu ialah Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Puan Maharani, yang juga anak kepada presiden kelima Indonesia Megawati Soekarnoputri.

Menurut Jakarta Post, buku 10 jilid itu akan merangkumi segala-galanya daripada penemuan arkeologi terkini mengenai tamadun awal di Nusantara sehingga penghujung penggal kedua mantan presiden Joko Widodo pada Oktober tahun lalu.

Encik Fadli juga berusaha meyakinkan orang ramai bahawa buku sejarah tersebut "tidak menyembunyikan apa-apa" di tengah-tengah kebimbangan mengenai pencabulan hak asasi manusia masa lampau yang mungkin dikaburi.

Semasa berucap di persidangan parlimen bulan lalu, menteri kebudayaan itu akur tentang penderaan seksual yang berlaku semasa rusuhan 1998 di Indonesia tetapi mempersoalkan penggunaan istilah "rogol beramai-ramai", yang katanya "perlu dibuktikan".

Pergolakan di Indonesia pada 1998 tercetus daripada kegawatan ekonomi dan kemarahan yang memuncak terhadap pemerintahan kuku besi mantan Presiden Suharto.

Orang Cina Indonesia menjadi sasaran rusuhan yang tercetus di pelbagai bandar pada Mei tahun itu, beberapa hari sebelum Suharto meletak jawatan.

Menurut media Nikkei Asia, draf 30 muka surat projek penulisan semula itu yang sudah tersebar online hanya merangkumi dua daripada 17 kes pencabulan hak asasi manusia yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Nasional Hak Asasi Manusia Indonesia,

Beberapa kes yang tidak disertakan termasuk peristiwa yang melibatkan Presiden Prabowo, menurut Nikkei Asia.

Presiden Prabowo, seorang mantan jeneral tentera, dituduh mendalangi penculikan 22 aktivis yang mengkritik Suharto antara 1997 dan 1998, termasuk 13 yang masih hilang sehingga hari ini.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita