Skip to main content

Dunia

Indonesia tahan mantan menteri, pengasas Gojek berhubung kes rasuah

Penyiasat Indonesia pada Khamis (4 Sep) menamakan mantan menteri pendidikan dan pengasas bersama syarikat kenderaan sewa Gojek, Nadiem Makarim, sebagai suspek dalam kes rasuah berhubung dakwaan pemerolehan komputer riba yang tidak wajar, dan mengatakan bahawa Nadiem sudah ditahan.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia tahan mantan menteri, pengasas Gojek berhubung kes rasuah

Nadiem Makarim, pengasas syarikat khidmat kenderaan sewa dan pembayaran online Indonesia, Gojek, tiba di Istana Presiden di Jakarta, Indonesia, pada 21 Oktober 2019. (Gambar fail: REUTERS/Willy Kurniawan)

JAKARTA: Penyiasat Indonesia pada Khamis (4 Sep) menamakan mantan menteri pendidikan dan pengasas bersama syarikat kenderaan sewa Gojek, Nadiem Makarim, sebagai suspek dalam kes rasuah berhubung dakwaan pemerolehan komputer riba yang tidak wajar, dan mengatakan bahawa Nadiem sudah ditahan.

Seorang penyiasat di pejabat peguam negara berkata Makarim akan ditahan selama 20 hari sementara siasatan dijalankan.

Makarim, yang berkhidmat sebagai menteri pendidikan antara 2019 hingga 2024, dituduh terlibat dalam pemerolehan komputer riba Google Chromebook untuk kegunaan kementeriannya dan para pelajar, kata penyiasat Nurcahyo Jungkung Madyo.

Peguam Makarim tidak memberi respons terhadap permintaan komen daripada Reuters.

Dia dituduh menyalahguna kuasanya sebagai menteri untuk memperkayakan diri sendiri atau sebuah syarikat, kata Encik Nurcahyo. Ini sekali gus melanggar undang-undang antirasuah Indonesia. Para penyiasat menganggarkan kes berkenaan menyebabkan negara itu kerugian sebanyak 1.98 trilion rupiah (S$157.04 juta).

“Bagi tujuan siasatan, (Makarim) akan ditahan selama 20 hari akan datang,” kata Encik Nurcahyo dalam satu sidang media.

Pihak pendakwa raya mendapati bahawa Makarim mengeluarkan satu dekri pada 2021 yang mengandungi butiran pemerolehan yang hanya sepadan dengan komputer riba Chromebook, kata Encik Nurcahyo.

Sebelum memilih Chromebook, Makarim dikatakan bertemu dengan wakil Google Indonesia sebanyak enam kali, tambah Encik Nurcahyo.

Google tidak memberi respons segera terhadap permintaan komen daripada Reuters.

Pada Julai, pejabat peguam negara menyerbu pejabat syarikat teknologi Indonesia, GoTo Gojek Tokopedia, untuk mencari bukti berkaitan kes tersebut tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

GoTo Gojek Tokopedia juga tidak memberi respons segera terhadap permintaan komen daripada Reuters.

Makarim meninggalkan Gojek selepas dilantik sebagai menteri pada 2019. Gojek bergabung dengan syarikat permulaan e-dagang Tokopedia pada 2021 untuk membentuk GoTo Gojek Tokopedia, syarikat teknologi terbesar di Indonesia.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita