Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia tahan ketua Jemaah Islamiah

Polis Indonesia mengumumkan pada Isnin (1 Jul) pihaknya sudah menahan ketua rangkaian Jemaah Islamiah (JI) yang ada kaitan dengan Al Qaeda, dalang utama letupan bom di Bali pada 2002 yang meragut lebih 200 nyawa.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia tahan ketua Jemaah Islamiah

Para pegawia polis Indonesia menunjukkan gambar pemimpin Jemaah Islamiyah (JI) Para Wijayanto dan beberapa barang yang dirampas semasa sidang media di Jakarta pada 1 Julai 2019. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 01 Jul 2019 11:16PM Dikemas Kini : 01 Jul 2019 11:20PM

JAKARTA: Polis Indonesia mengumumkan pada Isnin (1 Jul) pihaknya sudah menahan ketua rangkaian Jemaah Islamiah (JI) yang ada kaitan dengan Al Qaeda, dalang utama letupan bom di Bali pada 2002 yang meragut lebih 200 nyawa.

Para Wijayanto ditahan polis anti rusuhan bersama isterinya pada Sabtu di sebuah hotel di Bekasi, pinggir ibu kota Jakarta, menurut jurucakap Polis Nasional, Dedi Prasetyo.

Menurut polis, Wijayanto adalah pemimpin JI iaitu antara kumpulan pengganas paling lama di Indonesia yang juga mendalangi siri serangan berdarah di negara itu.

Encik Prasetyo berkata, Wijayanto turut disyaki menghantar sekurang-kurangnya enam kumpulan rakyat Indonesia untuk berperang di Syria selain memberi sokongan kepada kumpulan militan di lokasi utama mereka, di Poso, Kepulauan Sulawesi.

JI yang ada kaitan dengan Al-Qaeda ditubuhkan sekumpulan militan Indonesia di Malaysia pada tahun 1980-an dan semakin berkembang merentasi Asia Tenggara.

Kumpulan itu bertanggungjawab ke atas serangan pengganas terburuk di negara tersebut iaitu letupan bom di Bali pada 2002 yang meragut 200 nyawa pelancong dari sekurang-kurangnya 21 negara, termasuk 38 penduduk tempatan.

Mereka juga disyaki terbabit dalam letupan bom kereta pada 2003 di hotel JW Marriott di Jakarta yang mengorbankan 12 nyawa dan serangan bom nekad tahun berikutnya di luar kedutaan Australia yang meragut nyawa 10 orang.

Menurut Institut Dasar Analisis Konflik (IPAC), operasi besar-besaran pihak berkuasa Indonesia pada akhir tahun 2000 menyaksikan JI hampir lumpuh.

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, polis anti pengganasan di Indonesia memberi tumpuan kepada kumpulan Jamaah Ansharut Daulah (JAD), yang mengikrarkan taat setia kepada kumpulan pengganas ISIS. 

Sumber : AFP/SU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan