Skip to main content

Dunia

Indonesia siasat pemimpin gagal, lambat bertindak susuli banjir besar

Kementerian Dalam Negeri Indonesia (Kemendagri) mengarahkan unit pemeriksa khas bagi meningkatkan pemantauan terhadap pemimpin wilayah di beberapa kawasan Sumatra yang terjejas teruk akibat banjir dan tanah runtuh.
Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia siasat pemimpin gagal, lambat bertindak susuli banjir besar
Seorang lelaki berjalan sambil memikul cangkul di jalan yang masih dipenuhi lumpur selepas banjir kilat melanda kawasan Aceh Tamiang, wilayah Aceh, Indonesia. (Gambar: AFP)
JAKARTA: Kementerian Dalam Negeri Indonesia (Kemendagri) mengarahkan unit pemeriksa khas bagi meningkatkan pemantauan terhadap pemimpin wilayah di beberapa kawasan Sumatra yang terjejas teruk akibat banjir dan tanah runtuh.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Indonesia, Bima Arya Sugiarto, yang dipetik agensi berita ANTARA, memaklumkan perkara itu ketika menghadiri Sidang Kemuncak Sukan Indonesia 2025 di Indonesia Arena pada Sabtu (6 Dis).

Beliau menekankan bahawa pihak kementerian boleh mengenakan tindakan terhadap pelanggaran pentadbiran, kelalaian prosedur atau prestasi oleh pegawai tempatan yang bertanggungjawab mengurus tindak balas bencana di wilayah terjejas, iaitu Aceh, Sumatra Utara dan Sumatra Barat, seperti dinukil BH Online.

Kenyataan itu dibuat susulan kritikan awam terhadap Ketua Daerah Aceh Selatan, Mirwan, yang dilaporkan berada di Makkah untuk menunaikan ibadah umrah di Makkah ketika daerah itu sedang berdepan banjir besar.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Benni Irwan berkata Menteri Dalam Negeri, Tito Karnavian, secara peribadi menghubungi Encik Mirwan dan mendapati ketua daerah itu berangkat tanpa kelulusan diperlukan daripada gabenor wilayah atau menteri.

Sebuah pasukan kementerian dihantar ke Aceh untuk menyoal pemimpin itu yang dilaporkan pulang pada Ahad (7 Dis) dan menilai sama ada beliau melanggar prosedur pentadbiran atau undang-undang, seperti dinukil BH Online.

Encik Irwan berkata pihak kementerian menyesali keputusan Mirwan meninggalkan negara semasa bencana besar.

Beliau menekankan bahawa pemimpin tempatan perlu berada di lokasi semasa krisis bagi memastikan tindak balas cepat dan koordinasi berkesan.

"Ketua wilayah mesti berada bersama komuniti mereka," katanya, seperti dinukil BH Online.

Sebagai tindak balas, pihak berkuasa Aceh Selatan mempertahankan pemimpin terbabit, menyatakan beliau hanya berangkat selepas keadaan stabil.

"Ketua daerah dan isterinya berangkat selepas keseluruhan keadaan di Aceh Selatan bertambah baik dan mangsa bencana sudah diberi bantuan yang sewajarnya," kata Setiausaha Wilayah, Diva Samudra Putra pada Jumaat (5 Dis).
Sumber : Agensi berita/HA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita