Indonesia siasat 'komplot jenayah' pemerolehan komputer riba Kementerian Pendidikan bernilai AS$616 juta
Indonesia melancarkan siasatan terhadap dakwaan rasuah melibatkan pemerolehan komputer riba Chromebook bernilai sekitar 10 trilion rupiah (AS$615.8 juta) oleh Kementerian Pendidikan.
Simbol menampikan integriti (Satya), kecemerlangan (Adhi) dan bijaksana (wicaksana) dipaparkan di bangunan Kejaksaan Agung di Jakarta pada 6 Mac 2025. (Gambar fail: AFP/Yasuyoshi Chiba)
Komputer riba itu diperoleh dari 2019 hingga 2023 sebagai sebahagian daripada projek pendigitalan di seluruh negara semasa pemerintahan mantan Presiden Joko “Jokowi” Widodo, dan bertujuan untuk menyokong sekolah-sekolah awam, menurut Kejaksaan Agung Republik Indonesia (AGO) pada Isnin (26 Mei).
“Kira-kira 1,000 Chromebook sebelum ini telah diuji dan menunjukkan prestasi buruk, namun pemerolehannya masih diteruskan,” kata Harli Siregar, ketua Pusat Maklumat Undang-Undang AGO, semasa sidang media di Jakarta, seperti dipetik portal berita Jakarta Globe.
Kompas melaporkan bahawa para penyiasat di bawah Jaksa Agung Muda Bidang Tindak Pidana Khusus mengeluarkan waran "siasatan rasmi" pada 20 Mei.
Kejaksaan Agung sudahpun memanggil para pegawai pemerintah dan wakil syarikat swasta yang terlibat dalam projek itu untuk disoal siasat.
Encik Harli bagaimanapun enggan menamakan individu atau entiti tertentu, lapor media tempatan.
Pihak berkuasa mengesyaki terdapat pakatan sulit atau "konspirasi jenayah" dalam kalangan mereka yang terlibat dalam merangka kajian untuk mewajarkan pemerolehan itu.
"Mungkin terdapat manipulasi dan pemerolehan paksa, menyebabkan pembaziran dana negara yang ketara," Encik Harli dipetik sebagai berkata oleh Jakarta Globe.
Sedang jumlah kerugian kewangan daripada projek itu masih dikira, Kompas melaporkan anggaran belanjawan yang diperuntukkan untuk pemerolehan Chromebook ialah 9.9 trilion rupiah.
Pemerolehan itu berlaku semasa penggal Nadiem Makarim, yang memimpin Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Riset, dan Teknologi (Kemendikbudristek) dari 2019 hingga 2024 di bawah pentadbiran Jokowi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.