Indonesia siasat ancaman bom terhadap penerbangan Haji Saudi Airlines
Gambar edaran ini dikeluarkan pada 21 Jun 2025 oleh Komando Pasukan Gerak Cepat Tentera Udara Indonesia (KOPASGAT) yang menunjukkan seorang anggota tentera sedang menarik bagasi berhampiran pesawat Saudia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu di Medan, Sumatra Utara selepas pesawat itu dilencongkan berikutan ancaman bom. (Gambar: Edaran/KOPASGAT/AFP)
Ancaman yang diterima pada Sabtu (21 Jun) itu melibatkan penerbangan SVA 5688 bagi laluan Jeddah–Muscat–Surabaya yang membawa 376 jemaah haji dari Jawa Timur serta 11 anak kapal.
Pesawat berkenaan mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Sumatera Utara pada pukul 9.30 pagi, sebelum semua penumpang dan kru dipindahkan serta menjalani pemeriksaan keselamatan, menurut kenyataan pihak polis dan tentera.
Jurucakap unit antikeganasan polis Densus 88, Mayndra Eka Wardhana berkata mesej ancaman itu dihantar ketika pesawat berada di ruang udara India.
“Ancaman itu dihantar melalui komunikasi suara menggunakan sistem radio berasaskan VPN, yang membolehkan komunikasi rentas sempadan atau darat-ke-darat,” katanya kepada stesen penyiaran tempatan MetroTV.
Pemeriksaan bersama yang melibatkan pasukan tentera, polis dan agensi berkaitan mendapati tiada bahan letupan atau objek mencurigakan di dalam pesawat, menurut Pusat Penerangan Tentera Nasional Indonesia (Puspen TNI).
“Menjelang pukul 7.15 malam, proses pemeriksaan selesai dijalankan dan tiada ancaman dikesan,” kata Ketua Puspen TNI Mejar Jeneral Kristomei Sianturi dalam satu kenyataan.
Penerbangan disambung semula pada pukul 3.00 pagi Ahad (22 Jun).
Insiden itu menyusuli satu lagi ancaman bom pada 17 Jun membabitkan penerbangan Saudia SV 5276, yang membawa 422 jemaah haji dari Depok, Jawa Barat, yang dalam perjalanan dari Jeddah ke Jakarta dan turut diarahkan mendarat di lapangan terbang sama.
Laporan media memetik kenyataan pihak berkuasa lapangan terbang bahawa ancaman itu dihantar dalam bahasa Inggeris melalui e-mel kepada pembantu juruterbang, dipercayai berasal dari Mumbai dan didakwa melibatkan seorang warga asing.
“Kami sedang menganalisis sama ada ancaman itu datang dari dalam atau luar negara,” kata Mayndra.
Densus 88 turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi memandangkan pesawat itu diklasifikasikan sebagai aset negara.
Pada Sabtu, Ketua Polis Negara Jeneral Listyo Sigit Prabowo memaklumkan bahawa pihaknya turut bekerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat untuk mengesan punca e-mel berkenaan.
“Penemuan awal menunjukkan nama pengirim tidak sepadan dengan alamat e-mel yang digunakan,” katanya.
Setakat ini, motif di sebalik kedua-dua insiden masih belum diketahui.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.