Indonesia siasat 30 rakyat Malaysia disyaki terlibat aktiviti penipuan
Encik Saifuddin Nasution berkata pihak berkuasa Malaysia akan mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu 30 rakyat Malaysia yang ditahan di Pontianak. (Gambar fail: Bernama)
- 30 rakyat Malaysia dan seorang warga Taiwan ditahan di Pontianak, Indonesia kerana disyaki terlibat dalam penipuan online.
- Pihak berkuasa Indonesia bertindak selepas risikan terhadap kegiatan mencurigakan di sebuah hotel pada pagi Selasa.
- Saifuddin Nasution Ismail menyatakan Malaysia akan bekerjasama dengan Indonesia untuk siasatan lanjut dan menentukan sama ada ia sindiket besar atau tindakan individu.
- Beliau juga menegaskan fokus Kerajaan MADANI kini ialah menjaga kebajikan rakyat dan menunaikan amanah kepimpinan, bukan mempercepatkan PRU16.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu berkenaan.
Encik Saifuddin berkata amalannya adalah pihak Indonesia akan menghubungi pasukan polis Malaysia bagi memberi ruang untuk melakukan siasatan.
“Tujuannya untuk pastikan sama ada ini satu gerakan bersendirian 30 orang ini sahaja atau pun merupakan satu sindiket yang lebih tersusun.
"Jadi hasil maklumat itu nanti akan membolehkan kita menyusun rencana untuk tindakan selanjutnya," katanya lagi.
Beliau berkata demikian semasa satu sidang media pada Sabtu (12 Sep).
Awal dari itu, pihak berkuasa Indonesia dilaporkan menahan 30 rakyat Malaysia dan seorang warga Taiwan di sebuah hotel kira-kira pukul 11.15 pagi Selasa menyusuli risikan berhubung kegiatan mencurigakan membabitkan warga asing.
Dalam pada itu, Encik Saifuddin, yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, berkata tumpuan Kerajaan MADANI kini ialah mengutamakan isu rakyat.
"Kita masih ada hingga Februari 2028… banyak lagi kita boleh manfaatkan kedudukan kerajaan sekarang, jaga kestabilan dengan elok, urus ekonomi dengan cermat dan tumpu kebajikan rakyat.
"Setahun lebih ini masa yang cukup lumayan untuk kita tumpu kepada menunaikan amanah kepimpinan dan tumpu kepada jaga kebajikan rakyat, pada saya itu lebih afdal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan supaya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) disegerakan sebelum tempoh Parlimen Penggal Ke-15 tamat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.