Indonesia siap sedia hadapi kemuncak musim kemarau sedang El Nino memuncak
Seekor burung bangau hinggap di atas baldi plastik di dasar tasik ketika paras air menurun di Jakarta pada 29 Julai 2026, sedang kesan El Nino membawa musim kemarau yang berpanjangan dan mencetuskan kemarau yang melampau di Indonesia. (Gambar: AFP/Bay Ismoyo)
- BMKG Indonesia memberi amaran tentang kemuncak musim kemarau akibat El Nino yang dijangka berlaku pada Ogos dan September, menjejaskan hampir separuh zon bermusim negara itu.
- Wilayah seperti Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Papua Selatan dikenal pasti berisiko tinggi kebakaran hutan dan kekurangan air.
- Fenomena El Nino dan IOD positif dijangka mengurangkan taburan hujan, memberi tekanan kepada sektor pertanian dan tenaga, serta meningkatkan permintaan elektrik.
- BMKG menekankan kepentingan perancangan awal, penggunaan air yang cekap dan pemantauan berterusan sehingga musim hujan bermula sekitar pertengahan Oktober.
Timbalan Bidang Klimatologi Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Ardhasena Sopaheluwakan berkata, ramalan terkini adalah selaras dengan unjuran yang dikeluarkan pada Mac dan Mei iaitu sebanyak 48.8 peratus zon bermusim di Indonesia dijangka mencapai kemuncak musim kemarau pada Ogos manakala 25 peratus lagi dijangka mengalaminya pada September.
"Setakat Khamis (30 Jul) malam, pemantauan BMKG mencatat 5,019 titik panas dan trend kumulatif titik panas dari Januari hingga pertengahan Julai 2026 telah meningkat dengan lebih pantas berbanding tahun-tahun El Nino sebelum ini, iaitu pada 2015, 2019 dan 2023," katanya dalam satu sidang media pada Khamis yang disiarkan secara langsung di YouTube.
Beliau berkata, Kalimantan Barat, Papua Selatan dan Riau mencatatkan jumlah titik panas tertinggi, sementara risiko kebakaran hutan diramalkan kekal tinggi antara Ogos hingga November, dengan kemuncaknya dijangka berlaku pada Ogos dan September.
Wilayah yang memerlukan perhatian rapi termasuk Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Papua Selatan.
Encik Ardhasena berkata, pemantauan terkini menunjukkan indeks Nino 3.4 iaitu penunjuk utama kekuatan fenomena El Nino di kawasan tengah khatulistiwa Lautan Pasifik, meningkat melebihi paras 1.56, sekali gus melepasi ambang 1.5 yang menandakan fenomena El Nino yang kuat.
Beliau menambah, fenomena Indian Ocean Dipole (IOD) positif, yang berpotensi mengurangkan lagi taburan hujan di beberapa bahagian Indonesia, turut diramalkan akan berlaku antara September hingga Disember.
Menurut Encik Ardhasena, musim kemarau yang berpanjangan itu akan memberi kesan kepada pelbagai sektor selain pengurusan bencana.
Menurutnya, maklumat iklim membantu petani menyesuaikan jadual penanaman dan pemilihan pelbagai jenis tanaman manakala ramalan taburan hujan akan menyokong pengurusan air di loji jana kuasa hidroelektrik.
Beliau berkata suhu yang lebih tinggi dijangka meningkatkan permintaan terhadap bekalan elektrik, sementara penurunan paras air di takungan dan tasik boleh menjejas penjanaan kuasa hidroelektrik.
Sehubungan itu, menurutnya, peruntukan air yang cekap serta perancangan operasi awal adalah penting bagi memastikan bekalan tenaga yang stabil.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan kesan El Nino terhadap Indonesia akan berkurangan apabila musim hujan bermula sekitar pertengahan Oktober, dengan keadaan yang lebih lembap secara beransur-ansur merebak dari bahagian barat Indonesia pada Oktober dan November, walaupun fenomena tersebut dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga suku pertama 2027.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.