Skip to main content

Dunia

Indonesia serbu pejabat GoTo Gojek Tokopedia berhubung siasatan dakwaan rasuah projek Chromebook AS$610j

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia serbu pejabat GoTo Gojek Tokopedia berhubung siasatan dakwaan rasuah projek Chromebook AS$610j

GoTo Gojek Tokopedia, yang tidak dituduh bagi sebarang salah laku, akan "bekerjasama dengan pihak berkuasa dan mengikut arahan mereka". (Gambar: GoTo)

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menyerbu pejabat gergasi teknologi GoTo Gojek Tokopedia berhubung siasatan dakwaan rasuah dalam projek perolehan komputer riba Chromebook oleh pemerintah Indonesia.

Laporan media tempatan menukil Harli Siregar, seorang jurucakap di Pejabat Peguam Negara sebagai berkata pada Jumaat (11 Jul) bahawa para penyiasat menjalankan serbuan ke atas sebuah pejabat di Jakarta Selatan pada Selasa (8 Jul).

"Barang-barang yang dirampas termasuk dokumen dan peranti elektronik dalam bentuk pemacu pena," katanya, seperti dinukil wadah berita Jakarta Globe.

Kes dakwaan rasuah itu melibatkan perolehan komputer riba Chromebook di Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Riset, dan Teknologi (Kemendikbudristek) dari 2019 hingga 2022 di bawah belanjawan sebanyak 9.9 trilion rupiah (S$782.6 juta).

Ia adalah sebahagian daripada projek pendigitalan kebangsaan di bawah pentadbiran Presiden Jokowi dan bertujuan menyokong sekolah-sekolah awam.

Apabila Pejabat Peguam Negara mengumumkan siasatan itu pada Mei, ia menyatakan bahawa ia mengesyaki terdapat pakatan sulit atau 'konspirasi jenayah' antara mereka yang terlibat melakarkan kajian untuk mewajarkan pemerolehan itu.

Ia dilaporkan terdapat kurang keperluan bagi kegunaan komputer riba Chromebook di Indonesia kerana komputer-komputer riba itu memerlukan ketersambungan Internet yang lebih tinggi, sementara akses Internet di seluruh negara itu tidak sama rata.

Syarikat pemula khidmat sewa kereta Gojek diasaskan oleh Nadiem Makarim, mantan menteri Pendidikan, Kebudayaan, Riset, dan Teknologi.

Gojek bergabung dengan firma e-komersil Tokopedia untuk membentuk GoTo Gojek Tokopedia, atau lebih dikenali sebagai GoTo pada 2021.

Encik Nadiem disoal siasat oleh pihak berkuasa pada 23 Jun dan para penyiasat menanyakan kira-kira 31 soalan berkaitan proses perolehan itu, lapor Jakarta Globe.

Namun beliau menafikan terlibat dalam skandal itu dan berikrar untuk bekerjasama dalam siasatan, yang juga meliputi peranan anggota kakitangan khas beliau pada waktu itu.

Sumber : CNA/HZ/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita