Indonesia semak semula hantar jemaah umrah ke Saudi di tengah pandemik COVID-19
Kementerian Agama Indonesia masih menyemak semula langkah menghantar jemaah umrah ke Arab Saudi semasa pandemik COVID-19 sekarang.

(Gambar: Agensi berita)
JAKARTA: Kementerian Agama Indonesia masih menyemak semula langkah menghantar jemaah umrah ke Arab Saudi semasa pandemik COVID-19 sekarang.
Pengarah Agung Penyelenggaraan Haji dan Umrah Kementerian Agama Indonesia, Oman Fathurahman berkata satu pasukan kementeriannya mengenal pasti beberapa masalah yang dihadapi tiga kumpulan pertama jemaah umrah Indonesia semasa di Saudi pada awal bulan ini.
Untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi tiga kumpulan pertama para jemaah umrah Indonesia itu, Kementerian Agama Indonesia meminta pihak penganjur pakej umrah untuk melakukan persiapan secara lebih menyeluruh termasuk peraturan jarak sosial dan pendidikan kepada para jemaah.
Indonesia diberikan kelulusan menjadi salah satu negara yang pertama menghantar semula jemaah untuk umrah pada awal bulan ini.
Sejumlah 359 jemaah umrah Indonesia berlepas ke Jeddah pada 1, 3 dan 8 November lalu dalam satu usaha uji cuba yang dipimpin pasukan Kementerian Agama Indonesia.
Namun menurut laporan akhbar Tempo,13 daripada para jemaah Indonesia itu dilaporkan positif COVID-19 semasa di Saudi.
Menurut Kementerian Agama Indonesia, pihak berkuasa Saudi kini melaksanakan
prosedur yang ketat supaya para jemaah umrah mematuhi semua protokol kesihatan semasa di Tanah Suci.
Dalam satu kenyataannya, Himpunan Penyelenggaran Umrah dan Haji Indonesia mengumumkan minggu lalu, pihaknya tidak akan menghantar jemaah umrah ke Saudi, sehingga terdapat ketentuan tentang prosedur perlaksanaan umrah dalam norma baru sekarang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.