Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia sekat hampir 3.8 juta laman judi online

Indonesia telah menyekat akses kepada 3,796,902 laman perjudian online sejak 17 Julai tahun lalu hingga 9 Oktober ini sebagai sebahagian daripada usaha membanteras aktiviti haram dan mewujudkan internet yang lebih selamat untuk rakyatnya.

Anggaran Waktu Membaca:
JAKARTA: Indonesia telah menyekat akses kepada 3,796,902 laman perjudian online sejak 17 Julai tahun lalu hingga 9 Oktober ini sebagai sebahagian daripada usaha membanteras aktiviti haram dan mewujudkan internet yang lebih selamat untuk rakyatnya.

Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya juga telah menyekat 31,751 pautan berkaitan perjudian di laman web institusi pendidikan dan 31,812 pautan di laman pemerintah.

Menterinya, Budi Arie Setiadi berkata tindakan itu adalah penting.

"Sekatan ini adalah sebahagian daripada pemantauan siber kami yang berterusan," katanya sambil menambah bahawa terdapat keperluan untuk melindungi kumpulan-kumpulan yang terdedah, khususnya golongan muda daripada bahaya perjudian online.

Kementerian itu dengan kerjasama Bank Indonesia telah mengambil tindakan terhadap 573 akaun e-dompet yang dikaitkan dengan perjudian dan telah meminta Penguasa Perkhidmatan Kewangan menyekat 7,599 akaun bank yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti sedemikian.

"Sekurang-kurangnya 21,000 kata kunci berkaitan perjudian telah dilaporkan kepada Google dan lebih 5,793 kepada Meta sebagai sebahagian daripada strategi kami," tambahnya.

Awal dari itu, CNN Indonesia pada Isnin (7 Okt) melaporkan bahawa seorang bapa berusia 36 tahun di Jakarta Timur telah ditahan kerana menjual anaknya berusia 11 bulan dengan harga 15 juta rupiah (sekitar AS$955) bagi membeli dua telefon bimbit baharu untuk kegunaan harian dan perjudian online.

Ibu kanak-kanak itu yang bekerja di Balikpapan, Kalimantan Timur memaklumkan insiden berkenaan kepada pihak berkuasa baru-baru ini.

Pusat Laporan dan Analisis Transaksi Kewangan mendedahkan bahawa urus niaga perjudian online di republik itu mencecah 100 trilion rupiah (kira-kira AS$6.4 bilion) pada suku pertama tahun ini.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan