Skip to main content

Dunia

Indonesia sekat akses media sosial golongan bawah 16 tahun mulai 28 Mac

Indonesia bakal menjadi negara bukan Barat pertama yang melarang akses kepada platform digital berisiko tinggi bagi kanak-kanak bawah umur 16 tahun bermula 28 Mac ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital Meutya Hafid.
Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia sekat akses media sosial golongan bawah 16 tahun mulai 28 Mac
Akaun media sosial milik kanak-kanak bawah 16 tahun di platform berisiko tinggi akan mula dinyahaktifkan secara berperingkat menjelang tarikh pelaksanaan pada 28 Mac 2026. (Gambar fail: REUTERS/Hollie Adams)
JAKARTA: Indonesia bakal menjadi negara bukan Barat pertama yang melarang akses kepada platform digital berisiko tinggi bagi kanak-kanak bawah umur 16 tahun bermula 28 Mac ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital Meutya Hafid.

Beliau berkata pemerintah sudah mengeluarkan peraturan menteri selaras dengan Peraturan Pemerintah (PP) TUNAS, atau Tatakelola untuk Anak Aman dan Sihat Digital, yang mengawal selia pengendali sistem elektronik bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak di ruang digital.

Langkah itu, menurut Cik Meutya, turut melarang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada memiliki akaun di platform berisiko tinggi seperti media sosial dan perkhidmatan rangkaian.

“Dasarnya adalah jelas, anak-anak kita menghadapi ancaman yang semakin nyata. Ini termasuk daripada pendedahan kepada pornografi, buli siber, penipuan online dan yang paling membimbangkan ialah ketagihan. 

“Pemerintah hadir agar ibu bapa tidak lagi bertarung sendirian melawan raksasa algoritma,” kata beliau dalam mesej video yang dimuat naik ke platform media sosial kementerian itu pada Jumaat (6 Mac).

Cik Meutya berkata bermula dari tarikh pelaksanaan itu, akaun media sosial milik kanak-kanak bawah 16 tahun di platform berisiko tinggi termasuk YouTube, TikTok, Facebook, Instagram, Thread, X, Bigolive, dan Roblox akan mula dinyahaktifkan.

Beliau berkata proses berkenaan akan dijalankan secara berperingkat sehingga semua platform mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Cik Meutya menyifatkan langkah itu sebagai "langkah terbaik" yang bertujuan melindungi masa depan kanak-kanak Indonesia dalam era digital.

“Langkah ini kita ambil untuk merebut kembali kedaulatan masa depan anak-anak kita. Kita ingin teknologi itu memanusiakan manusia, bukan mengorbankan zaman kanak-kanak tetapi anak-anak kita,” kata beliau.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita