Skip to main content

Dunia

Indonesia sedang buat persiapan 'sangat baik' tangani kemungkinan jerebu, kata menteri

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia sedang buat persiapan 'sangat baik' tangani kemungkinan jerebu, kata menteri

Jerebu menyelubungi Pekanbaru, Riau di Indonesia pada 18 Sep 2019. (Gambar fail: Nivell Rayda)

SINGAPURA: Indonesia sedang membuat persiapan "sangat baik" bagi kemungkinan berlakunya jerebu rentas sempadan pada tahun ini, kata Menteri Penyelaras Maritim dan Pelaburan Indonesia, Luhut Binsar Pandjaitan pada Selasa (6 Jun).

"Kami mempunyai teknologi pengubahsuaian iklim. Ia membolehkan kita merangsang hujan lebih awal untuk membuat kolam, supaya kita mempunyai air yang cukup untuk memadam kebakaran," kata Encik Luhut kepada para wartawan di luar sidang Minggu Ecosperity 2023 di Marina Bay Sands Singapura.

Semasa ditanya soal isu jerebu, beliau berkata: "Saya percaya, jerebu bukan lagi satu isu."

Jerebu di rantau Asia Tenggara akibat kebakaran hutan di Indonesia bagai tiada kesudahannya sepanjang dekad lalu. Pada 2013, pembakaran besar-besaran di banyak bahagian Sumatra dan Borneo mencetuskan krisis jerebu yang menjejas beberapa negara, termasuk Singapura, Malaysia, Brunei dan Thailand.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) tiga jam di Singapura mencecah paras rekod, iaitu setinggi 401, pada Jun tahun itu. Ini menyebabkan ramai terburu-buru menyimpan bekalan pelitup N95. Keadaan jerebu di Malaysia pula sampai ke tahap paling buruk sejak 2005.

Pada September 2015, yang juga merupakan tahun El Nino, bacaan PSI 24 jam melebihi tahap berbahaya di Singapura.

Minggu lalu, Jabatan Kaji Cuaca Singapura meramalkan berlakunya El Nino, serta Dipol Lautan India yang positif, pada separuh kedua tahun ini. Ini akan meningkatkan lagi risiko jerebu rentas sempadan yang akan menjejas Singapura dan seluruh rantau ini, akibat cuaca lebih panas dan kering.
Pusat Kaji Cuaca Khas ASEAN turut memberi amaran tentang risiko lebih tinggi bagi jerebu di selatan rantau ASEAN antara Jun dengan Oktober tahun ini.

Semasa insiden El Nino yang teruk pada 2015/2016, jumlah hujan di Singapura antara Jun hingga September 2015, hanya sekitar 35 peratus daripada purata jangka panjang.

Pada Selasa, Encik Luhut berkata negaranya "ingin juga melihat mutu udara (di ibu kota Jakarta) menjadi seperti yang di Singapura". Jakarta sering diselubungi asap dengan kabut dan dinamakan sebagai salah satu bandar paling tercemar di dunia.

Encik Luhut menambah, negaranya sedang menyasarkan pengeluaran gas karbon sifar bersih menjelang 2055 "atau mungkin lebih awal daripada itu".

Mengenai apa yang diperlukan untuk mencapai sasaran ini, Encik Luhut berkata kerjasama adalah penting dan kesungguhan rakyat Indonesia tidak harus diperlekehkan.

Beliau turut mengulangi tentang matlamat pemerintah Indonesia yang ingin mendapatkan 10 peratus penduduknya menggunakan kenderaan elektrik menjelang tahun depan.

Pada Mac, ia mengumumkan insentif untuk memikat 200,000 orang menukar kepada motosikal elektrik dalam usaha ke arah penggunaan kenderaan elektrik, lapor Bloomberg.
 
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita