Skip to main content

Dunia

Indonesia sambut 2019 dengan majlis perkahwinan beramai-ramai di Jakarta

Lebih 500 pasangan Indonesia berkahwin pada malam Tahun Baru dalam satu majlis perkahwinan beramai-ramai yang diadakan di bawah khemah di tengah-tengah cuaca hujan lebat di ibu kota Jakarta.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia sambut 2019 dengan majlis perkahwinan beramai-ramai di Jakarta

Pasangan menunggu giliran untuk dinikahkan dalam satu majlis perkahwinan beramai-ramai di Jakarta pada 31 Dis 2018. (Gambar: Goh Chai Hin/AFP)

Diterbitkan : 01 Jan 2019 09:07AM Dikemas Kini : 01 Jan 2019 09:10AM

JAKARTA: Lebih 500 pasangan Indonesia berkahwin pada malam Tahun Baru dalam satu majlis perkahwinan beramai-ramai yang diadakan di bawah khemah di tengah-tengah cuaca hujan lebat di ibu kota Jakarta.

Pemerintah bandar itu menganjurkan acara tersebut khusus bagi keluarga-keluarga kurang berkemampuan yang sering kali tidak mempunyai dokumen-dokumen rasmi seperti sijil lahir atau sijil pernikahan.

Perkahwinan yang sah membantu ibu bapa dan kanak-kanak mendapat akses kepada perkhidmatan awam seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan, kata gabenor tempatan Anies Baswedan.

Malam Tahun Baru dipilih justeru "jika mereka meraikan perkahwinan, semua akan turut meraikannya. Seluruh dunia," katanya.

Cik Rohilah yang ditemui AFP berkata, beliau sangat gembira kerana perkahwinannya dengan Encik Dahrun Hakim sudah disahkan. Pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan berusia empat tahun sejak mereka mendirikan rumah tangga.

Dihimpit masalah kewangan, pasangan itu sebelum ini hanya bernikah menurut hukum syarak dan dinikahkan seorang Imam lima tahun lalu - satu penyatuan yang dianggap tidak rasmi di Indonesia.

"Saya bahagia. Saya benar-benar berasa gembira," kata Cik Rohilah kepada AFP.

"Sekarang saya boleh memohon sijil lahir bagi anak perempuan saya supaya dia diiktiraf di negara ini," tambahnya.

Pengantin lelaki tertua di acara itu berusia 76 tahun manakala pengantin wanita tertua berusia 65 tahun. Pasangan termuda berusia 19 tahun.

Ini merupakan kali kedua pemerintah Jakarta mengadakan majlis perkahwinan beramai-ramai pada Malam Tahun Baru. Namun, bagi menghormati para mangsa bencana alam yang berlaku baru-baru ini di kepulauan itu, pertunjukan bunga api dibatalkan.

Bandar-bandar di wilayah Banten yang berdekatan, yang dibadai tsunami pada 22 Disember dan meragut lebih 400 nyawa, turut membatalkan sambutan Tahun Baru bagi memperingati para mangsa.  

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita