Indonesia, S'pura mahu rancakkan kerjasama pelaburan dan pendidikan kejuruan
Indonesia dan Singapura bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang pelaburan dan pendidikan kejuruan, terutama sekali dalam sektor perindustrian. Malah, Indonesia menawarkan kepada Singapura untuk membangunkan tiga estet perindustrian.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Presiden Joko Widodo di Semarang, Indonesia pada 14 November 2016. (Gambar fail: AFP/Presidential Palace/Laily Rachev)
JAKARTA: Indonesia dan Singapura bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang pelaburan dan pendidikan kejuruan, terutama sekali dalam sektor perindustrian. Malah, Indonesia menawarkan kepada Singapura untuk membangunkan tiga estet perindustrian.
Menteri Industri Indonesia Airlangga Hartarto berkata hari ini (19 Feb) bahawa Indonesia memberi sokongan kepada Singapura untuk terus membangunkan taman perindustriannya di Kalimantan Utara, Sumatra Utara dan Sulawesi Utara, dengan konsep bersepadu yang serupa dengan Taman Perindustrian Kendal di Semarang, Jawa Tengah.
Taman tersebut, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Presiden Joko Widodo pada 2016, menarik perhatian 39 syarikat sejauh ini, dengan jumlah pelaburan mencecah AS$360 juta (S$473 juta) selain memberi pekerjaan kepada lebih 1,950 penduduk. Ia merupakan usahasama para pemaju Singapura dan Indonesia.
Syarikat-syarikat yang menunjukkan minat datang dari pelbagai industri - dari perabot hinggalah ke pembungkusan makanan. Projek membangunkan politeknik di taman perindustrian tersebut bagi melatih para pekerja juga bakal selesai dijalankan.
"Singapura merupakan negara jiran yang memainkan peranan strategik yang memenuhi keperluan Indonesia dan rantau ini," kata Encik Airlangga.
Beliau berkata demikian menyusuli lawatan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan ke Indonesia minggu lalu di mana beliau bertemu dengan beberapa pegawai tinggi Indonesia, termasuk rakan sejawatannya dari Indonesia Retno Marsudi, gabenor Jakarta Anies Baswedan dan Menteri Industri.
Menurut Encik Airlangga, beliau membincangkan tentang Perjanjian Pelaburan Dua Hala dan berunding tentang pembaharuan Perjanjian Cukai Berganda dengan Dr Balakrishnan semasa lawatan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.