Skip to main content

Dunia

Indonesia rasmi anggota penuh terbaharu BRICS

Indonesia secara rasmi menyertai BRICS sebagai anggota penuh.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia rasmi anggota penuh terbaharu BRICS
Diterbitkan : 07 Jan 2025 07:30AM Dikemas Kini : 07 Jan 2025 07:35AM
KUALA LUMPUR: Indonesia secara rasmi menyertai BRICS sebagai anggota penuh.

Ini bermakna Indonesia menjadi anggota keenamnya.

Ini merupakan penambahan kepada anggota penuh sedia ada iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Brazil selaku pengerusi semasa BRICS, yang dilihat meluaskan pengaruhnya di rantau Asia Tenggara, seperti dipetik Astro Awani.

Dengan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) kira-kira AS$1.4 trilion (S$1.9 trilion), penduduk melebihi 280 juta dan pertumbuhan ekonomi tahunan melebihi 5 peratus sepanjang dekad lalu, Indonesia merupakan salah satu ekonomi paling pesat berkembang di dunia.

Kementerian Luar Brazil menyatakan, kemasukan Indonesia mencerminkan komitmen bersama untuk melakukan reformasi tadbir urus global dan memperkukuh kerjasama di negara-negara Selatan Global.

BRICS memulakan peluasan keanggotaannya semasa sidang puncak di Johannesburg pada 2023, memperkenalkan rangka kerja "negara rakan kongsi" baharu.

Keanggotaan penuh Indonesia, yang tertangguh disebabkan pilihan raya 2024, diluluskan secara sepakat selepas Presiden Prabowo Subianto memegang jawatan pada Oktober lalu.
China menyambut baik kemasukan Indonesia dan menyifatkannya sebagai langkah positif untuk BRICS dan Selatan Global.

Kumpulan itu kini mewakili hampir separuh penduduk dunia dan lebih 41 peratus daripada GDP global.

BRICS telah meletakkan dirinya sebagai penyeimbang kepada institusi yang dipelopori barat, terutama Amerika Syarikat.

Presiden Amerika Syarikat (AS) dipilih, Donald Trump baru-baru ini memberi amaran untuk mengenakan tarif 100 peratus jika BRICS membangunkan mata wang pesaing kepada dolar AS.

Keanggotaan Indonesia mengukuhkan pengaruh BRICS dan menyerlahkan peranannya dalam mencorak kerjasama ekonomi global.
Sumber : Agensi berita/NK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita