Indonesia rancang tingkat penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam pelan bekalan elektrik baharu
Indonesia merancang untuk meningkatkan tenaga boleh diperbaharui negara itu di bawah pelan bekalan elektriknya dalam tempoh 10 tahun akan datang, dipacu oleh lebih banyak kapasiti tenaga suria, kuasa hidro dan geoterma, kata seorang naib menteri pada Selasa (11 Feb).

Indonesia mahu meningkatkan kapasiti tenaga suria sebanyak 17 GW, termasuk sistem sokongan bateri, 16 GW tenaga hidro, dan 5 GW tenaga geoterma serta sumber-sumber lain. (Gambar: Unsplash/Asia Chang)
Pelan baharu itu, yang dikenali secara di peringkat tempatan sebagai RUPTL, akan menggantikan RUPTL 2021-2030 di mana kapasiti baharu sejumlah 40.6 gigawatt telah dirancangkan, dengan sekitar 52 peratus daripadanya adalah tenaga boleh diperbaharui.
Pemerintah Indonesia sedang memuktamadkan perbincangan mengenai pelan elektrik dengan Perusahaan Listrik Negara (PLN), di mana 70 peratus daripada 71 gigawatt tambahan yang dirancangkan itu akan dijana daripada sumber-sumber boleh diperbaharui, kata Kartika Wirjoatmodjo, Naib Menteri Badan Usaha Milik Negara.
"Ini akan meningkatkan gabungan tenaga boleh diperbaharui daripada sekitar 12 peratus kepada kira-kira 35 peratus pada 2034," katanya dalam forum perniagaan di Jakarta.
Di bawah rancangan akan datang, Indonesia menyasarkan untuk membina kapasiti tenaga suria sebanyak 17 GW, termasuk sistem sokongan bateri, 16 GW kuasa hidro, dan 5 GW tenaga geoterma, serta sumber-sumber lain seperti angin dan biotenaga, katanya lagi.
Sekitar 5 GW kapasiti arang batu baharu masih dijangka akan tersedia menjelang 2034, kata Encik Kartika.
"Kami masih akan meneruskan beberapa baki projek arang batu, tetapi ini setakat memenuhi sasaran pelan sebelum ini," katanya.
Kira-kira 15 GW kapasiti kuasa gas dirancang akan dibina menjelang 2034, terutama untuk menyokong kapasiti beban asas bagi Jawa, tambahnya.
Indonesia mengharamkan pembangunan loji janakuasa arang batu baharu pada 2022, kecuali bagi yang sudah dalam perancangan dan yang disepadukan dengan industri pemprosesan sumber asli selagi ia mempunyai rancangan untuk mengurangkan pelepasan karbon.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.