Skip to main content

Dunia

Indonesia rancang bina kemudahan simpan minyak dekat SG bagi pertingkat bekalan

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia rancang bina kemudahan simpan minyak dekat SG bagi pertingkat bekalan

Gambar: Yasuyoshi Chiba/AFP

Diterbitkan : 12 Dec 2024 10:10PM Dikemas Kini : 12 Dec 2024 10:11PM
JAKARTA: Indonesia merancang untuk membina kemudahan penyimpanan minyak di sebuah pulau yang terletak berhampiran dengan Singapura - sejajar dengan matlamat Presiden Prabowo Subianto untuk memastikan Indonesia berupaya menampung keperluan tenaganya sendiri - di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik, menurut seorang menteri.

Pada Rabu (11 Dis) Menteri Energi dan Sumber Daya Mineral Bahlil Lahadalia berkata kemudahan penyimpanan baharu itu akan direka sedemikian rupa agar ia dapat menyimpan pelbagai jenis minyak, walaupun beliau tidak mendedahkan lokasi sebenar dan butiran mengenai pembinaannya.

"Kemudahan itu akan dapat menyimpan minyak sehingga 30 hingga 40 hari dan Pertamina akan membeli minyak (dari kemudahan itu) pada harga pasaran global supaya kita boleh mencapai kebebasan tenaga," katanya seperti Detik semasa acara Partai Golkar di Jakarta.

Ini bermakna kemudahan baharu itu akan membolehkan firma tenaga milik pemerintah, iaitu Pertamina, untuk membeli minyak secara pukal, sekali gus mengurangkan pergantungan kepada pasaran global yang tidak menentu, di tengah-tengah peperangan berterusan di Gaza dan Ukraine yang telah menyebabkan gangguan kepada rantaian bekalan minyak dan gas global.

Putra Adhiguna, pengarah urusan di badan pemikir Energy Shift Institute, mengalu-alukan langkah itu, sambil mengatakan bahawa kemudahan baharu itu berpotensi menawarkan "simpanan penampan strategik (minyak)", dan menambah bahawa simpanan minyak yang dimiliki Indonesia pada masa ini adalah untuk kegunaan operasi.

"Ini adalah langkah penting, memandangkan Indonesia adalah pengimport minyak utama jadi mempunyai simpanan penimbal strategik sangat penting untuk kestabilan, terutamanya dengan agenda presiden mengenai keselamatan tenaga," kata Putra kepada Mediacorp.

Menurut laporan Antara pada April lalu, sumber import bahan api utama Pertamina ialah Singapura, yang membentuk 56.58 peratus daripada keseluruhan jumlah import bahan api, diikuti Malaysia dengan 26.75 peratus dan India sebanyak 6.28 peratus.

Sementara itu, Amerika Syarikat, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar merupakan sumber utama gas petroleum cecair yang diimport Pertamina.

Kemudahan baharu itu juga bertujuan untuk mengurangkan pergantungan Indonesia kepada Singapura, seperti yang dilaporkan oleh The Jakarta Globe.

“Singapura tidak mempunyai minyak, tetapi Indonesia mengimport 60 peratus minyaknya dari negara itu. Ini benar-benar mengejutkan saya,” kata Encik Bahlil, yang merupakan pemimpin Partai Golkar, pada 11 Okt, seperti dipetik Antara.

Inisiatif itu juga dijangka akan mengurangkan kos berkaitan penyimpanan pihak ketiga, pengangkutan dan yuran perantara, sekali gus memudahkan pembelian minyak yang lebih cekap dari segi kos.

Walaupun tidak mempunyai sumber minyak dan gas sendiri, Singapura merupakan salah satu daripada tiga pusat penapisan utama di dunia bagi eksport minyak, menurut Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).

Singapura mengimport minyak mentah dari negara-negara seperti Amiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Arab Saudi dan Kuwait.

Selain itu, Encik Bahlil juga menegaskan bahawa bekalan minyak Indonesia yang rendah, yang dianggapnya sebagai satu kebimbangan, menekankan betapa pentingnya untuk meningkatkan kapasiti penyimpanan minyak untuk meningkatkan daya tahan tenaga.

“Ini adalah isu geopolitik. Jika negara kita berperang, simpanan minyak kita hanya boleh bertahan selama 21 hari,” katanya seperti dipetik oleh Jakarta Globe.

Pentadbiran Presiden Prabowo Subianto dilaporkan menyasarkan untuk memulihkan pengeluaran minyak dan gas, dengan rancangan untuk melonggarkan peraturan, mengaktifkan semula telaga minyak terbiar dan meningkatkan pengeluaran dengan harapan dapat meningkatkan semula pengeluaran yang merosot sejak sedekad yang lalu.

 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita