Skip to main content

Dunia

Indonesia rampas kapal bawa 2.6 tan cecair disyaki methamphetamine

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia rampas kapal bawa 2.6 tan cecair disyaki methamphetamine

Lambang Badan Narkotika Nasional (BNN) kelihatan di pintu masuk pejabat BNN di Jakarta pada 28 Mei 2024. (Gambar fail: AFP/Yasuyoshi Chiba)

Diterbitkan : 19 Aug 2026 04:51PM
JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia merampas kira-kira 2.6 tan cecair yang disyaki methamphetamine selepas memintas sebuah kapal berdaftar di Tanzania di perairan wilayah Riau dan menahan 10 anak kapal warga Myanmar.

Badan Narkotika Nasional (BNN) Indonesia memaklumkan bahan yang disyaki itu disimpan di dalam lapan tong dram berkapasiti 200 liter dan sebuah tangki air berkapasiti 1,000 liter di atas kapal MV Ocean Porter, yang dipintas pasukan penguat kuasa gabungan kira-kira 6.00 petang waktu tempatan pada 17 Ogos lalu di perairan Tanjung Parit, Bengkalis.

“Pemeriksaan lanjut terhadap bahan itu sedang dijalankan,” menurut agensi berkenaan menerusi video yang dimuat naik di akaun media sosialnya.

Operasi melibatkan BNN, Direktorat Am Kastam dan Eksais serta Polis Wilayah Kepulauan Riau itu dilancarkan hasil maklumat risikan bahawa dadah akan dibawa dari Sarawak, Malaysia, ke perairan Indonesia.

“Kapal itu berdaftar di Tanzania dan kesemua 10 kru di atasnya adalah warga Myanmar. Mereka telah ditahan untuk siasatan lanjut,” menurut BNN.

Kapal itu kemudian ditunda ke pangkalan Kastam dan Eksais di Karimun, sebelum pemeriksaan menggunakan anjing penghidu serta peralatan pengesan dadah menemukan cecair yang disyaki methamphetamine itu.

BNN memaklumkan siasatan turut mendapati identiti kapal berkenaan dipercayai ditukar daripada MV Rain Maker kepada MV Ocean Porter sebagai sebahagian daripada modus operandi rangkaian penyeludupan dadah itu.

Agensi itu memaklumkan kira-kira 1.57 juta batang rokok haram dari China yang tiada setem eksais Indonesia turut ditemukan di dalam sebuah kontena sepanjang 40 kaki.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita