Skip to main content

Dunia

Indonesia pilih jeneral tiga bintang ketuai misi pengaman ke Gaza

Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Jeneral Agus Subiyanto berkata pasukan pengaman yang akan dihantar ke Gaza bakal diketuai seorang pegawai TNI berpangkat tiga bintang, lapor Agensi Berita ANTARA.
Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia pilih jeneral tiga bintang ketuai misi pengaman ke Gaza
Panglima TNI Jeneral Agus Subiyanto (kanan) dan Menteri Pertahanan Sjafrie Sjamsoeddin semasa sidang media selepas mesyuarat bersama Suruhanjaya I DPR RI di Jakarta pada 24 November 2025. (Gambar: ANTARA)
JAKARTA: Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Jeneral Agus Subiyanto berkata pasukan pengaman yang akan dihantar ke Gaza bakal diketuai seorang pegawai TNI berpangkat tiga bintang, lapor Agensi Berita ANTARA.

"Proses pemilihan kontinjen pasukan pengaman sedang berjalan. Rancangannya ialah ia akan dipimpin oleh seorang jeneral tiga bintang," kata beliau selepas sesi pendengaran bersama Suruhanjaya I di kompleks Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di Jakarta pada Isnin (24 Nov).

Beliau tidak menjelaskan sebab pelantikan pegawai berpangkat tinggi itu bagi memimpin pasukan pengaman ke Gaza, lapor Harian Metro.

Namun, beliau berkata pasukan berkenaan akan menyelia tiga briged komposit.

Setiap briged terdiri daripada tiga batalion utama iaitu batalion kesihatan, batalion jurutera binaan dan batalion sokongan.

"Akan ada juga sokongan mekanikal," kata Encik Subiyanto.

Beliau memberi jaminan bahawa semua anggota yang dijadualkan dihantar ke Gaza bersedia secara fizikal dan mental.

"Untuk pengambilan anggota, langkah pertama ialah ujian perubatan. Mereka mesti sihat, cergas dari segi fizikal dan stabil dari segi psikologi," kata beliau, seperti yang ditukil Harian Metro.

Menurutnya, semua pasukan pengaman akan digerakkan selepas TNI menghantar pasukan perintis ke Gaza.

Pasukan perintis ditugaskan menilai keadaan di lapangan dan menentukan lokasi penempatan anggota.

Beliau juga tidak menyatakan tarikh penghantaran pasukan.

Jeneral hanya memaklumkan bahawa Markas Besar TNI sedang menunggu arahan pemerintah pusat mengenai penghantaran itu.

Terdahulu, Menteri Pertahanan Sjafrie Sjamsoeddin berkata TNI menyediakan seramai 20,000 anggota bagi misi pengaman di Gaza.

"Kita memaksimumkan 20,000 anggota, namun tumpuan utamanya ialah bidang kesihatan dan pembinaan," kata beliau pada 14 November lalu.

Kata Encik Sjafrie penghantaran itu dibuat berdasarkan arahan Presiden Prabowo Subianto.

Anggota-anggota berkenaan akan menjalankan beberapa misi kemanusiaan termasuk menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada mangsa perang serta membina infrastruktur untuk masyarakat setempat, lapor Harian Metro.

"Pasukan ini akan dikerahkan bagi mengekalkan perdamaian yang lebih lama, sekali gus membuka jalan kepada rundingan politik," kata beliau.

Selain penghantaran anggota, Encik Sjafrie turut mengesahkan bahawa Tentera Udara Indonesia akan terus menyediakan bantuan logistik secara rutin melalui kaedah "airdrop" seperti yang dilakukan tahun ini.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita