Indonesia pertingkat tahap keselamatan jelang keputusan rasmi Pilihan Raya Presiden
Polis Indonesia pada Isnin (20 Mei) memasang lebih banyak kawat berduri bagi mengetatkan lagi tahap keselamatan di luar bangunan Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia.
(Gambar: Willy Kurniawan/Reuters)
JAKARTA: Polis Indonesia pada Isnin (20 Mei) memasang lebih banyak kawat berduri bagi mengetatkan lagi tahap keselamatan di luar bangunan Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia.
Polis juga sudah menyediakan kenderaan-kenderaan berperisai dan alat-alat penyembur air bagi menangani sebarang pergolakan yang mungkin berlaku apabila keputusan rasmi Pilihan Raya Presiden diumumkan minggu depan.
Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia dijadual mengumumkan keputusan rasmi pilihan raya dari bulan lalu pada Rabu depan.
Keputusan tersebut dijangka mengesahkan keputusan undi tidak rasmi yang diunjurkan oleh syarikat-syarikat tinjauan swasta, yang meramalkan bahawa Presiden Joko Widodo akan memenangi pilihan raya negara itu.
Para pemerhati bebas dan penganalisis sebelum ini berkata, pilihan raya itu adalah bebas dan saksama.
Bagaimanapun, Encik Prabowo Subianto, enggan mengaku kalah kerana pasukannya pula menuduh berlakunya "penipuan berleluasa dan perkara-perkara yang tidak betul".
Pihak berkuasa juga sudah memberkas berpuluh-puluh militan yang disyaki merancang serangan bagi mencetuskan keadaan huru-hara semasa rapat besar-besaran diadakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.