Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia pertimbang tetapkan had umur minimum pengguna media sosial

Anggaran Waktu Membaca:
JAKARTA: Indonesia akan menetapkan garis panduan sementera berhubung perlindungan kanak-kanak ke atas syarikat media sosial.

Langkah itu dilakukan sedang pemerintah menggubal undang-undang untuk menetapkan had umur minimum bagi pengguna platform media sosial sebagai langkah melindungi kanak-kanak dalam ruang digital, kata seorang pegawai kanan kementerian komunikasi pada Rabu (15 Jan).

Pada Isnin, Menteri Komunikasi dan Digital, Meutya Hafid berkata, pemerintah sedang merangka peraturan untuk mengharamkan penggunaan media sosial bagi golongan umur tertentu selepas membincangkan cadangan bagi melindungi kanak-kanak online bersama Presiden Prabowo Subianto.

"Kami berbincang mengenai langkah melindungi kanak-kanak dalam ruang digital," katanya dalam satu video yang dimuat naik ke saluran YouTube Pejabat Presiden.

"Presiden menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan pelan ini. Beliau amat menyokong usaha perlindungan kanak-kanak dalam ruang digital kita," tambah Encik Meutya.

Penembusan internet di Indonesia yang mempunyai sekitar 280 juta penduduk mencapai 79.5 peratus tahun lalu, menurut kajian Persatuan Penyedia Perkhidmatan Internet Indonesia yang membabitkan 8,700 responden.

Kajian itu juga mendapati 48 peratus kanak-kanak bawah umur 12 tahun mempunyai akses ke internet, dengan sebahagian daripada mereka menggunakan platform seperti Facebook, Instagram, dan TikTok.

Dalam kalangan pengguna Generasi Z iaitu mereka berumur 12 hingga 27 tahun, penembusan penggunaan internet adalah sebanyak 87 peratus.

Pada hujung tahun lalu, Australia meluluskan undang-undang penting yang melarang syarikat media sosial mendaftarkan pengguna di bawah umur 16 tahun.

Undang-undang itu menetapkan mengarahkan syarikat media sosial mengambil langkah munasabah bagi menghalang remaja muda daripada memiliki akaun.

Perdana Menteri, Anthony Albanese mengakui pelaksanaan had umur itu mungkin tidak sempurna, sama seperti larangan alkohol sedia ada, tetapi menyifatkannya sebagai tindakan yang wajar.

"Kawalan terhadap laman seperti Facebook, Instagram dan X akan membawa hasil yang lebih baik dan mengurangkan kemudaratan kepada remaja Australia," katanya kepada media.

Singapura juga sedang mempertimbangkan penggubalan undang-undang berkaitan had umur untuk akses media sosial sebagai langkah melindungi pengguna muda.
Sumber : Agensi berita/SU/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan