Skip to main content

Dunia

Indonesia pertimbang larang remaja bawah 16 tahun guna platform e-dagang

Anggaran Waktu Membaca:
 Indonesia pertimbang larang remaja bawah 16 tahun guna platform e-dagang

Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia Meutya Hafid semasa wawancara dengan AFP. (Gambar: AFP/Bay Ismoyo)

Diterbitkan : 07 May 2026 02:36PM Dikemas Kini : 07 May 2026 02:37PM
JAKARTA: Indonesia sedang mempertimbangkan langkah melarang remaja di bawah umur 16 tahun daripada menggunakan platform e-dagang, kata menteri komunikasi negara itu kepada AFP pada Rabu (6 Mei).

Ini menyusuli tindakan tegas Jakarta melarang golongan itu menggunakan media sosial.

"E-dagang adalah sasaran seterusnya, kerana kami mendapati ada kanak-kanak yang menjadi mangsa penipuan melalui platform tersebut," kata Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia Meutya Hafid dalam satu temu bual di Jakarta, tanpa memberikan butiran lanjut.

Pada bulan Mac, Indonesia mula menguatkuasakan larangan media sosial bagi mereka di bawah umur 16 tahun sebagai usaha melindungi kira-kira 70 juta kanak-kanak daripada ancaman pornografi online, buli siber, dan ketagihan internet.

Langkah itu menyusuli tindakan bersejarah Australia pada Disember lalu yang menghalang remaja daripada memiliki akaun di kebanyakan platform popular.

Peraturan di Indonesia itu pada mulanya menyasarkan lapan platform "berisiko tinggi": YouTube, TikTok, Facebook, Instagram, Threads, X, perkhidmatan penstriman Bigo Live, dan platform permainan Roblox.

Namun, Cik Meutya berkata pada Rabu pada akhirnya ia akan merangkumi "semua platform digital", termasuk laman beli-belah online.

Indonesia, negara kepulauan Asia Tenggara dengan lebih 284 juta penduduk, mempunyai antara jumlah pengguna media sosial tertinggi di dunia.

Cik Meutya berkata matlamat pemerintah adalah untuk membantu ibu bapa berhadapan dengan "platform besar" demi melindungi anak-anak mereka.

"Membiarkan ibu bapa berhadapan sendiri dengan platform ini tanpa peraturan adalah seperti membiarkan mereka bermain catur menentang jaguh dunia. Mereka tidak akan menang, atau ia akan menjadi sangat sukar untuk menang," kata Cik Meutya kepada AFP.

TINDAKAN GLOBAL

Roblox menjadi platform terbaharu yang mematuhi peraturan baharu tersebut dengan memperkenalkan teknologi pengesahan umur dan menyekat kandungan berdasarkan umur pengguna, menurut kenyataan pemerintah Indonesia minggu lalu.

Lebih separuh daripada 45 juta pengguna Roblox di Indonesia adalah kanak-kanak di bawah umur 16 tahun.

Gergasi media sosial kini berdepan tekanan di peringkat global kerana pemerintah di serata dunia semakin bimbang tentang kesan platform tersebut terhadap kesejahteraan pengguna.

Bulan lalu, parlimen Turki meluluskan undang-undang untuk menghalang kanak-kanak di bawah umur 15 tahun daripada mengakses media sosial. Beberapa negara Eropah termasuk Norway, Greece, Perancis, Sepanyol, dan Denmark juga menyatakan hasrat untuk memperkenalkan sekatan yang sama.

Seperti di Australia, peraturan di Indonesia meletakkan tanggungjawab kepada pihak platform untuk mengawal akses remaja.

Kegagalan untuk mematuhi larangan tersebut, yang akan dilaksanakan secara berperingkat, boleh menyebabkan syarikat terbabit dikenakan denda atau perkhidmatan mereka digantung di negara itu.
Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita