Skip to main content

Dunia

Indonesia pertimbang bayaran ke atas kapal di Selat Melaka: Laporan

Indonesia sedang menimbangkan untuk memperkenalkan cukai ke atas kapal-kapal komersial yang melalui Selat Melaka, lapor Anadolu Ajansi, memetik media tempatan pada Rabu (22 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia pertimbang bayaran ke atas kapal di Selat Melaka: Laporan

Kapal-kapal di Selat Melaka dan Singapura. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 22 Apr 2026 06:06PM
ISTANBUL: Indonesia sedang menimbangkan untuk memperkenalkan cukai ke atas kapal-kapal komersial yang melalui Selat Melaka, lapor Anadolu Ajansi, memetik media tempatan pada Rabu (22 Apr).

Langkah berkenaan bertujuan menjadikan salah satu koridor perkapalan tersibuk di dunia itu sebagai sumber pendapatan negara yang baharu.

Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa, berkata cadangan itu mencerminkan desakan Presiden Prabowo Subianto untuk meningkatkan peranan Indonesia dalam perdagangan global, menurut Jakarta Globe.

Bercakap dalam satu simposium di Jakarta, beliau berhujah bahawa walaupun negara itu terletak di lokasi yang strategik, kapal-kapal kini melakukan transit di laluan air berkenaan tanpa sebarang bayaran.

"Indonesia bukan negara terpinggir. Kita berada di sepanjang laluan perdagangan dan tenaga global yang penting, namun kapal yang melalui Selat Melaka tidak dikenakan bayaran," kata beliau.

Selat Melaka yang dikongsi oleh Indonesia, Malaysia dan Singapura, ialah laluan maritim penting yang menghubungkan Lautan Hindi dan Pasifik.

Perairan tersebut juga sering dibandingkan dengan laluan strategik lain seperti Hormuz, Suez dan Panama.

Encik Purbaya mencadangkan sebarang mekanisme mengenakan bayaran memerlukan penyelarasan dengan negara-negara jiran sambil menekankan bahagian geografi Indonesia yang dominan bagi laluan itu.

Beliau turut merujuk pada perbincangan antarabangsa, termasuk cadangan yang dikaitkan dengan Iran berhubung tol di Selat Hormuz sebagai model rujukan.

Bagaimanapun, idea itu menghadapi tentangan serantau serta-merta, dengan Menteri Ehwal Luar Singapura Vivian Balakrishnan menegaskan bahawa transit maritim di Selat Melaka dan Selat Singapura mesti kekal bebas dan tidak terhalang.

Tambah beliau, Singapura tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang percubaan untuk menutup, menghalang atau mengenakan tol di kawasan kejiranan mereka.

Bulan lalu, Suruhanjaya Keselamatan Negara parlimen Iran dilaporkan meluluskan rang undang-undang untuk mengenakan tol transit ke atas kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz, yang sedang menunggu kelulusan perundangan selanjutnya, namun Amerika Syarikat dan negara-negara lain menentang sebarang tol ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita