Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia perkukuh sistem pengesanan awal penyakit Marburg

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia perkukuh sistem pengesanan awal penyakit Marburg

Virus Marburg (Gambar: Wikimedia Commons/The University of Texas Medical Branch at Galveston)

JAKARTA: Pemerintah Indonesia memperkukuhkan sistem pengesanan awal di sebilangan pintu masuk negara itu untuk mencegah kes import penyakit Marburg yang dilaporkan di beberapa negara.

Ketua Pengarah bagi Pencegahan dan Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Maxi Rein Rondonuwu pada Rabu (29 Mac) menarik perhatian bahawa pemeriksaan kesihatan dipertingkatkan oleh pihak berkuasa yang relevan di kemudahan-kemudahan seperti pelabuhan dan lapangan terbang bagi para pelawat dari negara-negara yang dijangkiti. 

Kaedah pemantauan penyakit tersebut serupa dengan yang dilakukan untuk COVID-19, yang melibatkan pengesanan gejala-gejala yang dialami para pelawat, lapor agensi berita Indonesia, Antara. Rujukan kemudian dilakukan menerusi pengambilan sampel dan pemeriksaan. 

Gejala-gejala yang timbul akibat dijangkiti virus Marburg seakan-akan penyakit lain, seperti malaria, tifus dan demam denggi yang lazimnya dikesan di Indonesia.

"Kami sudah menyiapkan makmal bagi ujian sampel," ujar Encik Rondonuwu. 

Kementerian tersebut sudah mengirimkan surat pekeliling kepada semua pihak berkepentingan, termasuk pemerintah daerah, supaya berjaga-jaga terhadap kes import penyakit Marburg. 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerima laporan kes mengenai penyakit Marburg dari Equatorial Guinea di Afrika Barat pada 13 Februari 2023.

Menurut laporan tersebut, sembilan orang maut dan 16 yang disyaki dijangkitii virus itu dicatatkan di Wilayah Kie Ntem. Para pesakit mengalami demam, keletihan, muntah darah dan cirit-birit. 

Daripada sembilan sampel yang diperiksa, seorang disahkan positif bagi virus Marburg. Penularan di Equatorial Guinea dianggarkan bermula pada 7 Februari.

"Setakat hari ini, tiada kes Marburg dikesan di Indonesia," kata Encik Rondonuwu. 

Virus Marburg (filovirus), dengan gejala-gejala serupa dengan demam denggi, adalah salah satu daripada virus yang paling membawa maut, dengan kadar kematian setinggi 88 peratus. 

Virus itu tergolong dalam kategori yang sama dengan virus Ebola dan menjangkiti manusia melalui kontak dengan manusia yang dijangkiti virus itu atau haiwan atau objek yang tercemar.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan