Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia pantau kes import dari M'sia di Kepulauan Riau, Kalimantan Utara

Pemerintah Indonesia sedang memantau dengan teliti beberapa wilayah yang melaporkan peningkatan ketara pada jumlah kes COVID-19 baru-baru ini, termasuk Kepulauan Riau dan Kalimantan Utara yang melaporkan banyak kes import dari Malaysia, kata Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia pantau kes import dari M'sia di Kepulauan Riau, Kalimantan Utara

(Gambar: AP)

Diterbitkan : 04 Jun 2021 09:37AM Dikemas Kini : 04 Jun 2021 09:40AM

JAKARTA: Pemerintah Indonesia sedang memantau dengan teliti beberapa wilayah yang melaporkan peningkatan ketara pada jumlah kes COVID-19 baru-baru ini, termasuk Kepulauan Riau dan Kalimantan Utara yang melaporkan banyak kes import dari Malaysia, kata Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin.

Dalam wawancara eksklusif bersama Mediacorp pada Rabu (2 Jun), Encik Sadikin berkata pemerintah negara itu bukan setakat memantau kes-kes harian COVID-19 dalam negeri, malah juga peningkatan kes di peringkat wilayah dan bandar.

Encik Sadikin turut menjelaskan bahawa kesemua 34 wilayah dibahagikan kepada empat tahap, dengan Tahap 1 adalah paling selamat manakala Tahap 4 menunjukkan paras penularan yang tinggi.

Tahap-tahap itu ditetapkan berdasarkan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di mana 50 kes yang disahkan sehari bagi setiap 100,000 penduduk akan dianggap sebagai Tahap 4, menurutnya.

"Maka itu kita pantau wilayah mana yang sebenarnya berada di Tahap 4, yang tidak ada buat masa ini. Namun kita mempunyai wilayah yang berada di Tahap 3. Dan tiga daripada wilayah ini bukanlah wilayah-wilayah besar, ia adalah Riau, Kepulauan Riau dan Kepulauan Bangka Belitung.

"Kepulauan Riau berada di tahap yang tinggi kerana di sana kita menerima ramai pekerja hijrahan Indonesia yang datang dari Malaysia. Di Kalimatan, wilayah yang perlu kita pantau adalah Kalimatan Utara."

Walaupun wilayah-wilayah yang terletak bersebelahan dengan negeri-negeri di Malaysia iaitu Sabah dan Sarawak kini dikategorikan sebagai Tahap 2, data pemerintah menunjukkan kebanyakan daripada kes-kes itu adalah kes-kes import, katanya.

"Ia datang dari luar negara... Kami tahu kedudukan kami sebenarnya lebih baik daripada negara-negara jiran. Sungguhpun demikian, kita perlu mengukuhkan pelaksanaan kuarantin terhadap para pelawat dari negara-negara jiran dan terutama sekali jika perjalanan dilakukan melalui laluan darat atau laut."

Encik Sadikin menambah: "Jika ia melalui udara, ia lebih mudah untuk dikawal. Namun jika ia menerusi darat dan laut, kita mempunyai banyak tempat masuk. Dan ramai orang pulang atau dihantar pulang ke Indonesia. Kami menyedari bahawa ia boleh menjadi punca penularan, perjalanan antarabangsa."

Buat masa ini, Indonesia mengenakan kuarantin selama lima hari ke atas individu yang tiba dari luar negara dan tidak akan mengubahnya buat sementara waktu, katanya, sambil menambah ia sejajar dengan garis panduan yang ditetapkan oleh WHO.

Namun pihak berkuasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan melanjutkan tempoh kuarantin kepada 14 hari bagi para pelawat dari India, Pakistan dan Filipina.

LONJAKAN KES SUSULI SAMBUTAN AIDILFITRI DIJANGKA MEMUNCAK JELANG HUJUNG JUN

Pemerintah juga sedang mengambil langkah-langkah berwaspada dan menjangkakan peningkatan pada jumlah kes COVID-19 menyusuli sambutan Hari Raya Aidilfitri pada bulan lalu.

Walaupun ia melarang orang ramai daripada pulang ke kampung halaman secara beramai-ramai sempena Hari Raya, ramai dipercayai melanggar arahan itu.

(Gambar: Mediacorp)

Memandangkan cuti-cuti umum sebelum ini menyebabkan kes COVID-19 melonjak lebih 60 peratus, Encik Sadikin berkata, pemerintah sedang bersiap sedia menghadapi satu lagi lonjakan kali ini dengan menambah sehingga 72,000 katil bagi mereka yang menjalani pengasingan. Sekitar 20,000 katil sudah dipenuhi sebelum sambutan Hari Raya.

Kini, terdapat 7,500 katil dalam unit jagaan rapi, di mana sekitar 2,000 dipenuhi sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan