Skip to main content

Dunia

Indonesia nyatakan sokongan penuh hasrat Turki jadi Rakan Dialog ASEAN

Indonesia menegaskan sokongannya terhadap hasrat Turki untuk menjadi Rakan Dialog penuh Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), ketika Ankara kini giat memperkukuh pelibatan dengan blok 11 anggota itu.
Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia nyatakan sokongan penuh hasrat Turki jadi Rakan Dialog ASEAN
Encik Sugiono dan Encik Sjafrie hadir pada satu sidang media bersama dengan Encik Hakan dan Encik Yasar, di Ankara, pada 9 Januari 2026. (Gambar: Facebook Kementerian Pertahanan Republik Indonesia)
JAKARTA: Indonesia menegaskan sokongannya terhadap hasrat Turki untuk menjadi Rakan Dialog penuh Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), ketika Ankara kini giat memperkukuh pelibatan dengan blok 11 anggota itu.

Dalam deklarasi bersama menyusuli Mesyuarat Sulung Menteri Luar dan Menteri Pertahanan (2+2) yang diadakan di Ankara pada Jumaat (9 Jan), menteri-menteri Indonesia memuji aspirasi Turki untuk meningkatkan statusnya dalam ASEAN.

“Sehubungan itu, menteri-menteri Indonesia menyatakan sokongan berterusan terhadap permohonan Turki untuk menjadi Rakan Dialog ASEAN,” menurut deklarasi bersama itu yang disiarkan di laman Kementerian Luar Indonesia pada Sabtu.

Rakan Dialog Sektoral ASEAN-Turki ditubuhkan pada tahun 2017.

Mesyuarat itu dihadiri Menteri Luar Turki Hakan Fidan dan rakan sejawatannya dari Indonesia, Sugiono, serta Menteri Pertahanan Turki Yaşar Güler dan rakan sejawatannya, Sjafrie Sjamsoeddin.

Sementara itu, menteri-menteri Turki menyambut baik kelulusan permohonan mereka sebagai pemerhati bagi Tindakan Periuk Api Kemanusiaan (HMA) serta Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di bawah Mesyuarat Menteri-Menteri  Pertahanan ASEAN Campur (ADMM-Campur) bagi tempoh 2024-2027.

“Menteri-menteri Turki mengulangi sokongan mereka terhadap proses keanggotaan Indonesia dalam OECD (Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi), dan kedua-dua pihak menekankan kepentingan untuk terus memperkukuh dan mempelbagaikan kerjasama bantuan pembangunan, dengan fokus kepada kerjasama tiga penjuru bagi memajukan pembangunan mampan dan terangkum,” menurut kenyataan itu.

Berhubung isu Palestin, Indonesia dan Turki menekankan komitmen mereka terhadap huraian dua negara sebagai satu-satunya jalan untuk mencapai keamanan dan keselamatan yang berkekalan di rantau itu. 

Menurut Deklarasi Bersama itu, Indonesia dan Turki komited untuk meningkatkan jumlah perdagangan dua hala kepada AS$10 bilion (S$12.87 bilion), seperti yang ditetapkan oleh pemimpin kedua-dua negara.

Mereka turut menyambut baik perbincangan berterusan antara pihak berkuasa berkaitan yang bertujuan memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Keutamaan (PTA) yang seimbang dalam masa terdekat, yang dilihat sebagai pencapaian penting ke arah Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA).

Mengenai kerjasama pertahanan, menurut kenyataan itu kedua-dua pihak menggariskan komitmen untuk mendalami kerjasama ketenteraan melalui pembinaan kapasiti, latihan dan program pertukaran kakitangan, serta latihan bersama, selain memperluas kerjasama dengan melancarkan kursus Bahasa Turki untuk pegawai tentera Indonesia.

Dari aspek ekonomi pula, menteri-menteri Turki menyatakan kesediaan Ankara untuk menyokong program keutamaan pemerintah Indonesia, termasuk projek tiga juta rumah serta pembangunan ibu kota baharu, Nusantara.

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mengadakan mesyuarat 2+2 kedua di Indonesia pada tarikh yang akan diputuskan kelak.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita