Skip to main content

Dunia

Indonesia negara pertama di Asia Tenggara guna sistem peluru berpandu balistik jarak dekat

Indonesia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang menggunakan sistem peluru berpandu balistik taktikal yang akan meningkatkan keupayaan medan perang jarak dekatnya, berdasarkan para penggemar ketenteraan yang menyaksikannya di Kalimantan Timur.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia negara pertama di Asia Tenggara guna sistem peluru berpandu balistik jarak dekat

Pelancar peluru berpandu KHAN dilaporkan dilihat di pangkalan Raipur A milik Tentera Darat Indonesia di Kalimantan Timur pada 1 Ogos 2025. (Gambar: Facebook/ASEAN Defense Studies)

SINGAPURA: Indonesia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang menggunakan sistem peluru berpandu balistik taktikal yang akan meningkatkan keupayaan medan perang jarak dekatnya, berdasarkan para penggemar ketenteraan yang menyaksikannya di Kalimantan Timur.

Gambar-gambar peluru berpandu KHAN, yang dihasilkan oleh pengeluar Roketsan dari Turki, tersebar di laman Facebook Sahabat Keris pada Jumaat lalu (1 Ogos) dan dilaporkan secara meluas oleh blog-blog pertahanan, serta portal berita Indonesia. Kompas.

Gambar-gambar peluru berpandu yang ditempatkan pada pelancarnya dipercayai dipetik di kemudahan Raipur A Tentera Indonesia di Kalimantan Timur.

Peluru berpandu balistik adalah peluru berpandu yang digerakkan oleh roket yang boleh membawa kepala peledak nuklear atau kepala peledak konvensional.

Peluru berpandu KHAN 7.1m dengan garis pusat 610mm berupaya menemui sasarannya sehingga jarak 280km, menurut laman web Roketsan. Ia seberat 2,500kg dan dilengkapi dengan kepala peledak seberat 470kg.

Ia mempunyai ketepatan dengan ralat bawah 10m, yang sekali gus memberikan "kuasa tembakan yang tepat dan berkesan terhadap sasaran strategik di medan perang", menurut Roketsan.

Antara yang boleh dijadikan sebagai sasaran termasuk meriam dan sistem pertahanan udara, tapak radar dan kemudahan logistik.

Julat peluru berpandu KHAN menjangkaui radius serangan Indonesia ke koridor-koridor maritim yang dipertikaikan, lapor laman berita Defence Security Asia.

Walaupun Indonesia tidak mengemukakan tuntutan ke atas Laut China Selatan, "sembilan garis putus-putus" China yang menuntut sebahagian besar perairan tersebut yang bertindih dengan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Indonesia berhampiran Kepulauan Natuna yang kaya dengan minyak dan gas.

Indonesia menempah peluru berpandu KHAN pada November 2022 dan merupakan angkatan tentera pertama di luar Turki yang mempunyai peluru berpandu dalam inventorinya, menurut Timbalan Pengurus Besar Roketsan, Murat Kurtulus pada masa itu.

Mediacorp telah mengajukan soalan kepada tentera Indonesia tentang berapa banyak peluru berpandu KHAN yang diperolehinya dan di mana ia ditempatkan.

Ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu sedang berusaha untuk memodenkan perkakasan tenteranya yang semakin usang serta mempelbagaikan pembekal pertahanannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2022, Indonesia membeli 42 jet Rafale dari Perancis dengan harga AS$8.1 bilion.

China juga dilaporkan telah menawarkan untuk menjual jet pejuang J-10 kepada Jakarta.

Indonesia juga meningkatkan kerjasama dengan para pengeluar pertahanan Turki sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Semasa Pameran Pertahanan Indonesia 2025, negara itu menandatangani dua kontrak dengan Roketsan – satu untuk pemerolehan Peluru Berpandu Anti-Kapal ATMACA dan Sistem Senjata ATMACA, dan yang kedua untuk perjanjian usaha sama yang dirancang untuk membangunkan keupayaan Indonesia bagi “pemasangan, pengeluaran domestik dan kemampanan teknologi peluru berpandu”, umum Roketsan.

Bulan lalu, Indonesia menandatangani kontrak untuk membeli 48 jet pejuang KAAN dari Turki. Jet pejuang enjin berkembar itu, yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries, akan memasuki tahap pengeluaran tidak lama lagi dengan penghantaran kepada Tentera Udara Turki dijangka menjelang 2028 atau 2029.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita