Indonesia naikkan harga bahan api; kekang subsidi kian meningkat

Gambar Hiasan, Jakarta, Indonesia. (Gambar: Bay Ismoyo/AFP)
JAKARTA: Indonesia menaikkan harga bahan api bersubsidi sebanyak kira-kira 30 peratus pada Sabtu (3 Sep), menurut para pegawai kanan.
Ini sedang pemerintah mengambil langkah untuk mengekang subsidi yang semakin meningkat meskipun berdepan risiko bantahan besar-besaran.
Mulai pukul 2.30 petang waktu tempatan pada Sabtu, dalam masa sejam selepas pengumuman berkenaan dibuat, harga gasolin bersubsidi dinaikkan kepada 10,000 rupiah (S$0.94) bagi setiap liter dari 7,650 rupiah (S$0.72).
Harga bagi diesel bersubsidi pula naik kepada 6,800 rupiah (S$0.64) bagi setiap liter dari 5,150 rupiah (S$0.48), kata Menteri Tenaga Arifin Tasrif.
"Saya sebenarnya mahu harga bahan api tempatan kekal berpatutan dengan memberikan subsidi tetapi belanjawan subsidi sudah naik tiga kali ganda dan akan terus meningkat," kata Presiden Joko Widodo semasa satu sidang media.
"Kini, pemerintah perlu membuat keputusan dalam keadaan yang sukar. Ini adalah pilihan terakhir pemerintah," terang beliau yang juga dikenali sebagai Encik Jokowi.
Ekonomi terbesar Asia Tenggara itu sudahpun meningkatkan subsidi tenaganya pada 2022 kepada 502 trilion rupiah (S$47.3 bilion), tiga kali lebih tinggi berbanding jumlah asal belanjawan yang diperuntukkan. Ini didorong oleh harga minyak sejagat yang semakin meningkat dan nilai mata wang rupiah yang kian menyusut.
Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati berkata lebih banyak dana masih diperlukan meskipun dengan kenaikan harga bahan api dan jumlah itu bergantung kepada harga minyak mentah antarabangsa.
Beliau menganggarkan jumlah subsidi tenaga bernilai antara 591 trilion rupiah (S$55.7 bilion) hingga 649 trilion rupiah (S$61.1 bilion) bagi tahun ini menyusuli kenaikan harga tersebut, dengan mengandaikan bahawa purata harga minyak mentah kekal dalam lingkungan antara AS$85 (S$119.21) hingga AS$100 (S$140.25) bagi setiap tong sepanjang baki tahun 2022.
Sebelum kenaikan harga itu, jumlah yang diperuntukkan untuk subsidi tenaga adalah 698 trilion rupiah (S$65.7 bilion).
"Kami sedang memantau kesan langkah ini terhadap inflasi, pertumbuhan ekonomi dan juga kemiskinan," kata Cik Sri Mulyani.
Subsidi tenaga yang tinggi sebelum ini memastikan kadar inflasi Indonesia kekal rendah, sekali gus membolehkan bank pusat untuk menundakan langkah menaikkan kadar faedah sehingga bulan lalu, iaitu lebih lewat berbanding negara-negara serantau dan sejagat. Kadar inflasi bagi bulan Ogos dicatatkan pada 4.69 peratus.
Harga bahan merupakan isu sensitif politik di Indonesia dan perubahannya akan memberi kesan besar kepada keluarga dan perniagaan kecil kerana bahan api bersubsidi membentuk lebih 80 peratus daripada penjualan gergasi minyak Pertamina, yang dimiliki pemerintah.
Harga bahan api kali terakhir dinaikkan pada 2014, beberapa bulan selepas Encik Jokowi menyandang jawatannya, dan ia bertujuan untuk memberi kelonggaran kepada pemerintah dalam pilihan perbelanjaannya. Langkah itu mencetuskan bantahan di merata negara tersebut.
Kesatuan sekerja sebelum ini mengancam untuk mengadakan mogok sekiranya pemerintah meneruskan rancangan untuk menaikkan harga bahan api.
Pemerintah sudahpun memperuntukkan tambahan 24.17 trilion rupiah (S$2.2 bilion) dalam bentuk pengagihan wang tunai bagi membantu golongan miskin menangani kesan dasar tersebut, kata Encik Jokowi.
Sejurus selepas pengumuman kenaikan harga bahan api, Pertamina menyatakan ia komited untuk memastikan terdapat bekalan bahan api yang mencukupi di seluruh negara itu.
Deretan kereta dilihat beratur di beberapa stesen minyak di ibu kota Jakarta ekoran pengumuman tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.