Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia nafi guna dana haji untuk keperluan lain

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia nafi guna dana haji untuk keperluan lain

(Gambar: Abdel Ghani Bashir/AFP)

JAKARTA: Pemerintah Indonesia memberi subsidi bagi meringankan beban dan mengurangkan kos dikeluarkan oleh jemaah haji, kata Menteri Agamanya, Yaqut Cholil Qoumas.

Kenyataan berkenaan dibuat bagi menepis cerita tidak betul yang mengatakan dana haji digunakan pemerintah untuk keperluan lain seperti membangunkan ibu kota.

Demikian menurut laporan portal Kompas, seperti dipetik Harian Metro. 

"Apa yang tersebar itu tidak benar sama sekali.

"Ini kerana Badan Pelaksana Badan Pengelola Kewangan Haji (BPKH) pemerintah memberi subsidi supaya kos dikeluarkan jemaah menjadi lebih rendah," katanya ketika memberi kenyataan di Istana Negara, Selasa lalu (17 Mei). 

Menurut Encik Yaqut, BPKH berbeza dari Biaya Perjalanan Ibadah Haji (BPIH).

"BPIH itu lebih besar sedangkan kos dikeluarkan oleh jemaah jauh lebih rendah daripada yang diperlukan," kata Encik Yaqut.

Sementara itu, Ketua BPKH, Anggito Abimanyu memaklumkan hasil kerjasama pemerintah dan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), kos yang harus dibayar jemaah adalah kira-kira 39.9 juta rupiah (S$3,764).

BPIH yang diperlukan adalah 81.7 juta rupiah (S$7,707). 

"Kos haji yang diperlukan adalah sebanyak 81.7 juta rupiah (S$7,707) untuk setiap jemaah atau 7.5 trilion rupiah (S$707 juta). 

"Jemaah haji membayar sekitar 39.9 juta rupiah (S$3,764), setiap seorang, bersesuaian dengan apa yang ditetapkan oleh pemerintah dan disetujui oleh DPR," menurut Encik Anggito. 

Beliau turut menegaskan bahawa semua kos penyenggaraan ibadah haji 1443 Hijrah itu disiapkan baik dalam mata wang rupiah mahupun riyal.

"Kami sudah memindahkan dana itu kepada kerajaan Arab Saudi bagi membiayai hotel, katering, dan pengangkutan melalui Kementerian Agama," kata Encik Anggito.

Indonesia selaku negara dengan penduduk Islam paling ramai di dunia diperuntukkan kuota haji paling tinggi tahun ini, iaitu 100,051 jemaah.

Ia diikuti Pakistan yang diperuntukkan 81,132 jemaah dan India di tempat ketiga dengan 79,237 jemaah.

Memetik laporan Saudi Gazette, Bangladesh akan menghantar jemaah haji keempat terbesar dengan kuota 57,585.

Negara Afrika pula, Angola berada di bahagian bawah senarai dengan jumlah paling rendah iaitu 23 jemaah. Di antara negara-negara Afrika, Nigeria mendapat bahagian terbesar seramai 43,008 jemaah.

Bagi negara-negara Arab pula, Mesir mendahului dengan 35,375 jemaah.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan