Skip to main content

Dunia

Indonesia mulakan proses mohon sertai BRICS

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia mulakan proses mohon sertai BRICS

(Gambar: MAXIM SHIPENKOV / POOL / AFP)

Diterbitkan : 27 Oct 2024 10:25AM Dikemas Kini : 27 Oct 2024 10:54AM
JAKARTA: Indonesia sudah memulakan proses permohonan untuk menyertai BRICS, menurut Kementerian Luar Indonesia.

Jurucakapnya, Rolliansyah Soemirat berkata Menteri Luar Sugiono menyuarakan komitmen negara itu untuk bekerjasama dengan negara-negara anggota BRICS semasa kenyataan negara Indonesia di Sidang Puncak BRICS Plus baru-baru ini di Kazan, Rusia.

Negara-negara yang mengasaskan BRICS adalah Brazil, Rusia, India, dan China yang mengadakan sidang puncak pemimpin yang pertama di Rusia pada tahun 2009 dengan nama BRIC.

Berikutan penamaan semula kumpulan itu, Afrika Selatan kemudian menghadiri sidang puncak pertamanya sebagai anggota kumpulan itu pada 2011 selepas menyertai kumpulan tersebut pada 2010.

"Indonesia ingin bekerjasama dengan negara-negara BRICS dan negara-negara lain selatan global dalam pembangunan mampan serta reformasi sistem berbilang pihak untuk menjadikannya lebih terangkum dan mewakili realiti semasa.

Diharapkan Indonesia dan negara-negara dalam BRICS dapat menjadi kuasa perpaduan dan solidariti dalam kalangan negara-negara Selatan Global," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu (26 Okt).

Encik Rolliansyah berkata permohonan Indonesia akan dinilai berdasarkan mekanisme yang ditetapkan dalam kumpulan itu, sebagaimana dinyatakan dalam surat rasmi daripada Menteri Luar yang disampaikan secara langsung kepada Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov.

"Keinginan Indonesia untuk menyertai BRICS mencerminkan komitmen kami terhadap dasar luar yang bebas dan aktif, mengelakkan penjajaran dengan mana-mana blok tertentu sambil terus menyertai semua forum," katanya.

Beliau berkata objektif itu selaras dengan keutamaan negara-negara BRICS dan program kerja pemerintah Indonesia dalam bidang keterjaminan makanan, daya tahan tenaga, pembasmian kemiskinan dan pembangunan sumber manusia.

Sejak menghadiri Sidang Puncak BRICS ke-15 di Afrika Selatan pada Ogos 2023 sebagai Pengerusi ASEAN 2023, Indonesia telah menilai potensi keanggotaan, terutama manfaat ekonomi sekiranya ia menyertai BRICS.

BRICS pada awalnya ditubuhkan sebagai "BRIC" yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, dan China, pada tahun 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi pesat membangun utama, dan pada tahun 2010, Afrika Selatan dijemput menyertainya, menjadikan nama BRICS seperti sekarang.

Keahliannya diperluaskan pada 2023 dengan penambahan Habsyah, Iran, Mesir dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita