Indonesia mulakan pembenihan awan bagi tangani jerebu di Riau
Indonesia akan memulakan operasi pembenihan awan pada Isnin (21 Jul) bagi menangani kebakaran hutan dan tanah yang semakin buruk di Wilayah Riau, menurut pegawai.
Indonesia akan memulakan operasi pembenihan awan untuk menangani kebakaran hutan dan tanah yang semakin buruk di Wilayah Riau. (Gambar: AP)
Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Abdul Muhari berkata operasi itu akan dijalankan sekurang-kurangnya selama tujuh hari dan boleh dilanjutkan bergantung kepada keadaan di lapangan.
“Sebuah pesawat Cessna dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Pondok Cabe di Wilayah Banten pada Ahad, dan operasi pembenihan awan akan dilakukan pada Isnin menggunakan natrium klorida (NaCl) untuk merangsang hujan di kawasan yang terjejas akibat kebakaran,” katanya dalam kenyataan.
Data Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) menunjukkan terdapat 1,208 titik panas di seluruh Sumatera setakat Ahad, termasuk 586 di Riau, dan laporan stesen penyiaran tempatan Metro TV menyatakan jerebu yang terhasil telah sampai ke beberapa bahagian di Malaysia.
BNPB turut mengerahkan sebuah helikopter Bell 206 untuk rondaan udara dan memindahkan sebuah helikopter pengebom air Mi-8MSB-T dari Palembang ke Riau.
Pasukan petugas darat turut digerakkan melibatkan pegawai bencana, anggota tentera, polis, pasukan bomba serta sukarelawan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.