Skip to main content

Dunia

Indonesia mula bina loji kuasa solar terapung dengan kapasiti 92 megawatt

Syarikat utiliti Indonesia, Perusahaan Listrik Negara (PLN), sudah memulakan pembinaan loji kuasa solar terapung dengan kapasiti puncak setinggi 92 megawatt (MWp) di wilayah Jawa Barat sebagai sebahagian daripada usaha tenaga boleh diperbaharui negara itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat (3 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia mula bina loji kuasa solar terapung dengan kapasiti 92 megawatt

Panel solar di loji kuasa solar terapung berkapasiti puncak 192 megawatt (MWp) yang dibina di empangan Cirata. (Gambar: REUTERS/Willy Kurniawan)

JAKARTA: Syarikat utiliti Indonesia, Perusahaan Listrik Negara (PLN), sudah memulakan pembinaan loji kuasa solar terapung dengan kapasiti puncak setinggi 92 megawatt (MWp) di wilayah Jawa Barat sebagai sebahagian daripada usaha tenaga boleh diperbaharui negara itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat (3 Okt).

Indonesia merancang untuk menambah 42.6 gigawatt (GW) tenaga boleh diperbaharui, hampir 61 peratus daripada kapasiti tambahan tenaga yang disasarkan, ke dalam gridnya menjelang 2034. Sumbangan tenaga solar dijangka mencecah 17.1 GW daripada kapasiti tambahan itu.

Loji PLN di takungan Saguling, kira-kira 180 kilometer dari ibu kota Jakarta, disasarkan untuk mula beroperasi secara komersil pada November 2026.

Loji itu akan menjana lebih 130 gigawatt-jam elektrik setiap tahun, menurut PLN, sambil menambah bahawa ia berpotensi mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 104,000 tan.

“Loji terapung Saguling akan menjadi penanda aras penting dalam transformasi tenaga bersih Indonesia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PLN, Darmawan Prasodjo, dalam satu kenyataan.

Namun, tidak jelas jumlah pelaburan yang akan dibuat PLN bagi loji tersebut.

Loji Saguling menyusuli projek bernilai 1.7 trilion rupiah (S$140.09 juta) di Jawa Barat yang dibangunkan oleh unit PLN, Nusantara Power, bersama syarikat tenaga boleh diperbaharui Amiriah Arab Bersatu, Masdar, yang merupakan anak syarikat Mubadala Investment Company.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita