Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia Memilih 2024: 5 isu jadi tumpuan kempen sedang rakyat Indonesia undi hari ini

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Hampir 205 juta rakyat Indonesia layak untuk keluar mengundi pada Rabu (14 Feb) bagi memilih Presiden, Naib Presiden, senator dan anggota parlimen baharu mereka.

Buat julung-julung kalinya dalam 15 tahun, negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu menyaksikan persaingan tiga penjuru bagi pilihan raya presiden.

Calon-calonnya termasuk Menteri Pertahanan Prabowo Subianto, 72 tahun, mantan gabenor Jakarta Anies Baswedan, 54 tahun, dan mantan gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo, 55 tahun. Presiden Joko Widodo, yang akan melepaskan jawatannya tidak lama lagi, dilarang di bawah perlembagaan untuk bertanding bagi penggal ketiga.

Pengundian bermula pada pukul 7.00 pagi dan dijadual ditutup pada pukul 1.00 tengah hari. Keputusan 'kiraan pantas' dijangka diumumkan dalam beberapa jam lagi selepas tamatnya pengundian.
Tinjauan pendapat terbaharu menunjukkan Encik Prabowo mampu memperolehi lebih 50 peratus undi dan menang pilihan raya presiden itu dalam satu pusingan sahaja, tanpa bertanding dalam pusingan seterusnya pada 26 Jun antara dua calon terunggul yang dinamakan dalam pusingan pertama berkenaan.

Walaubagaimana pun, dua pesaingnya masih memberi persaingan yang sengit.

Pada masa yang sama, lebih 20,000 jawatan menjadi taruhan dalam pilihan raya perundangan dan kira-kira 250,000 calon berkempen selama 75 hari antara 28 Nov hingga 10 Feb.

Siapa yang akan dipilih rakyat Indonesia untuk menerajui ekonomi terbesar Asia Tenggara, akan dipantau dengan teliti rantau ini.

BERITA Mediacorp singkap antara lima isu utama yang membentuk pilihan raya kali ini.

POLITIK DINASTI

Meskipun tidak bertanding, pengaruh Presiden Jokowi masih membawa kesan terhadap pilihan raya 2024 itu.
Anak sulungnya, Gibran Rakabuming Raka, sedang bertanding untuk merebut jawatan Naib Presiden, di samping rakan seperjuangannya Encik Prabowo.

Walaupun Encik Gibran, 36 tahun, tidak memenuhi syarat undang-undang untuk calon presiden dan naib presiden berumur sekurang-kurangnya 40 tahun, Mahkamah Perlembagaan Indonesia, yang dipengerusikan abang ipar Encik Jokowi dan merupakan mantan ketua Mahkamah Perlembagaan Indonesia Anwar Usman, membuat keputusan selang beberapa hari sebelum pendaftaran calon dibuka.

Ia memutuskan bahawa mereka yang sebelum ini pernah dipilih menyandang jawatan serantau boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya presiden tanpa mengira usia. Encik Gibran merupakan Datuk Bandar Surakarta atau Solo.

Ahli akademik dan kumpulan masyarakat sivil telah bersuara menentang tanda terbaharu yang membayangkan wujudnya politik dinasti serta kesannya terhadap demokrasi. Selain BJ Habibie, presiden ketiga negara itu, setiap presiden Indonesia sejauh ini mempunyai sekurang-kurangnya seorang ahli keluarga terdekat yang memasuki politik.
Sebuah poster pilihan raya memaparkan calon Presiden Prabowo Subianto (kiri) dan rakan seperjuangannya Gibran Rakabuming Raka (kanan), di samping Presiden Indonesia Joko "Jokowi" Widodo, menjelang pilihan raya presiden tersebut.
KONFLIK KEPENTINGAN DAN KEMPEN TIDAK ADIL?

Pasangan Prabowo-Gibran turut menimbulkan persoalan mengenai konflik kepentingan serta kempen yang tidak adil.

Semasa tempoh berkempen, Encik Jokowi memanfaatkan rangkaiannya serta kedudukannya sebagai Presiden untuk mendapatkan sokongan bagi pasangan itu, seperti dengan mengerahkan tentera dan polis bagi Encik Prabowo serta penglibatannya dalam program-program populis demi meningkatkan sokongan kepada calon yang dilihat ramai sebagai pengganti pilihan beliau.

Ini bercanggah daripada tradisi bagi seorang presiden yang tidak bertanding untuk tidak mempunyai penglibatan langsung dalam pilihan raya itu.

AI DAN MEDIA SOSIAL

Benar atau palsu? Tular video-video janggal yang melibatkan calon - seperti satu yang memaparkan Encik Prabowo bertutur dalam bahasa Arab dengan lancar atau satu lagi yang menunjukkan Encik Anies dimarahi pengerusi Partai Nasional Demokrat (NasDem) Surya Paloh - di media sosial semasa pilihan raya itu.
Kecerdasan buatan (A1) membantu dalam penciptaan video tular sedemikian. Lantaran itu, para pengamat memberi amaran bahawa ia akan memburukkan lagi penyebaran maklumat yang salah di negara tersebut.

Dalam satu tinjauan yang dijalankan pada 2022 oleh kumpulan pemikir yang berpangkalan di Jakarta, Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), 59 peratus daripada 1,200 responden berusia antara 17 hingga 40 tahun berkata mereka mendapatkan maklumat mereka terutamanya daripada media sosial.

Sungguhpun demikian, AI telah menjadi alat bagi calon-calon, penyokong mereka dan bahkan agensi pilihan raya itu. Mereka memanfaatkannya untuk menghasilkan bahan promosi, chatbots yang menjadikannya kelihatan seperti pengguna berinteraksi dengan calon pilihan mereka, dan untuk mempercepatkan proses kiraan undi.

MEMENANGI JAWA

Pulau Jawa merupakan medan pertarungan penting bagi pilihan raya itu, memandangkan ia menempatkan lebih separuh daripada pengundi Indonesia yang layak.

Antara enam wilayahnya - Jakarta, Banten, Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur dan Yogyakarta - Jawa Barat mempunyai jumlah pengundi tertinggi (35.7 juta) dan merupakan kubu kuat Encik Prabowo.


Sementara itu, Jawa Tengah dianggap sebagai medan pertarungan yang tidak kurang hebatnya, di mana ia belum lagi mempunyai pengaruh kuat mana-mana calon. Ia sekali gus mendorong lawatan berulang kali serta menyeluruh oleh ketiga-tiga calon Presiden itu dalam usaha mereka menambat hati 31.4 juta pengundi di sana.

Mantan gabenor Jawa Tengah Ganjar dijangka meraih kemenangan di kubu kuatnya itu dan wilayah jirannya Yogyakarta, yang mempunyai jumlah keseluruhan kira-kira 31 juta pengundi.

Mantan gabenor Jakarta Anies pula dijangka mampu menambat hati penduduk Jakarta dan penduduk di Banten, yang membentuk seramai 17 juta pengundi.

PERSOALAN MENGENAI NUSANTARA

Rancangan bercita-cita tinggi Presiden Widodo untuk memindahkan ibu negara Indonesia daripada bandar metropolis Jakarta yang tercemar dan tenggelam ke Kalimantan Timur, kira-kira 1,300 kilometer jauhnya, telah mendapat respons yang bercampur-campur daripada calon presiden.

Fasa pertama Nusantara - yang terdiri daripada pembinaan istana, premis beberapa kementerian dan infrastruktur asas seperti jalan raya dan perumahan - dijadual siap pada 17 Ogos tahun ini, iaitu pada hari kemerdekaan Indonesia. Projek itu dijadualkan siap sepenuhnya pada 2045.

Encik Ganjar dan Encik Prabowo telahpun mengatakan bahawa mereka akan meneruskan dasar-dasar Encik Widodo, sekiranya mereka menang.

Encik Anies, bagaimanapun, menyatakan bahawa beliau akan mengkaji semula kebolehlaksanaan Nusantara, sambil menambah bahawa "perlu ada perlindungan" supaya pelabur asing tidak akan mengalami kerugian sekiranya projek mega itu tidak menguntungkan Indonesia.

Sementara itu, kedua-dua Encik Prabowo dan Encik Ganjar juga berikrar untuk meneruskan usaha negara untuk menjadi pemain utama dalam pengeluaran bateri untuk kenderaan elektrik.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan