Indonesia, Malaysia pertimbang ketatkan peraturan visa susuli peningkatan kegiatan penipuan online
Selama bertahun-tahun, kebanyakan hab penipuan dan perjudian online terbesar di rantau ini beroperasi dari zon-zon ekonomi khas yang ditadbir secara longgar di kawasan sempadan Kemboja, Myanmar dan Laos, di mana sindiket jenayah membina operasi bernilai berbilion dolar.
Warga asing yang disyaki menjalankan operasi perjudian online ditangkap di Jakarta, Indonesia pada 10 Mei 2026. (Gambar: REUTERS/Willy Kurniawan)
Namun sedang pemerintah di negara-negara tersebut berdepan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat untuk membanteras operasi haram itu, para pakar percaya sesetengah sindiket kini mula berpindah - atau meluaskan operasi - ke negara-negara Asia Tenggara lain seperti Indonesia dan Malaysia.
“Kemungkinan Indonesia atau Malaysia menjadi pusat kegiatan pemerdagangan manusia ke pusat penipuan adalah sesuatu yang sangat nyata,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pertubuhan antipemerdagangan manusia The Mekong Club, Matt Friedman, kepada Mediacorp.
Kebimbangan itu kini semakin dikongsi para pegawai di Indonesia dan Malaysia, selepas ratusan warga asing dan penduduk tempatan yang disyaki terbabit dalam operasi penipuan dan perjudian online diberkas sejak awal Mei.
Pihak berkuasa di kedua-dua negara percaya sindiket jenayah mengeksploitasikan kawalan imigresen yang longgar serta aturan perjalanan bebas visa dalam kalangan anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), dan sedang mencadangkan peraturan visa dan imigresen yang lebih ketat.
“Kes-kes warga asing yang terlibat dalam kegiatan haram, termasuk mereka yang datang dari negara yang diberikan kemudahan kemasukan bebas visa, menimbulkan (keperluan) untuk menilai semula dasar,” kata Ketua Pengarah Pejabat Imigresen Indonesia, Hendarsam Marantoko, kepada AFP pada 13 Mei.
Ketika ini, para pelancong dari semua negara ASEAN boleh menetap di Indonesia tanpa visa sehingga 30 hari. Warga China dan Jepun pula perlu mendapatkan visa semasa ketibaan. Visa tersebut sah untuk digunakan selama 30 hari dan boleh dilanjutkan sekali lagi bagi tempoh 30 hari.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Malaysia Mohd Khalid Ismail berkata dalam sidang media pada 15 Mei bahawa dasar visa Malaysia “memudahkan penjenayah asing untuk beroperasi di negara ini”.
Di Malaysia, para pelancong dari semua negara ASEAN boleh tinggal tanpa visa sehingga 30 hari kecuali Myanmar (14 hari).
Sementara itu, warga Jepun boleh memasuki Malaysia tanpa visa sehingga 90 hari manakala rakyat China dibenarkan masuk tanpa visa sehingga 30 hari bagi setiap lawatan, dengan tempoh maksimum terkumpul selama 90 hari dalam tempoh 180 hari.
Thailand, yang turut menyaksikan peningkatan jumlah jenayah melibatkan warga asing sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pada 19 Mei mengumumkan ia akan mengurangkan tempoh tinggal tanpa visa bagi para pelancong dari lebih 90 negara termasuk kawasan Schengen yang terdiri daripada 29 negara Eropah, Amerika Syarikat dan beberapa negara Amerika Selatan.
Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow, berkata rancangan untuk mengurangkan tempoh tinggal tanpa visa itu adalah sebahagian daripada usaha negara itu dalam membanteras jenayah rentas sempadan.
Tempoh baharu bebas visa itu akan ditentukan mengikut negara, kata pihak berkuasa Thailand, dengan kebanyakan warga asing diberikan tempoh tinggal sehingga 30 hari, manakala sesetengah yang lain mungkin hanya diberikan tempoh selama 15 hari.
Namun, para pakar memberi amaran bahawa pengetatan peraturan visa, khususnya aturan bebas visa ASEAN yang sudah lama diamalkan, boleh mencetuskan tindak balas diplomatik dan ekonomi.
“Sama ada pengetatan dasar imigresen akan berkesan dalam mencegah jenayah sedemikian masih boleh dipersoalkan. Sindiket-sindiket ini sangat berupaya dan boleh menyesuaikan diri dengan cepat,” kata pakar dasar awam dari Universiti Trisakti di Jakarta, Trubus Rahadiansyah, kepada Mediacorp.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.