Indonesia mahu sertai pembangunan jet pejuang Kaan Turki: Presiden Prabowo
Indonesia berminat untuk mengambil bahagian dalam pembangunan bersama jet pejuang generasi kelima Turki, kata Presiden Prabowo Subianto selepas bertemu Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di Ankara pada Khamis (10 Apr).

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto (kiri) dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan (kanan) di Istana Presiden di Ankara, Turki, pada 10 April 2025. (Gambar: Instagram/presidenrepublikindonesia)
Turki merupakan destinasi kedua bagi lawatan Encik Prabowo ke Timur Tengah selepas Emiriah Arab Bersatu, di mana beliau bertemu pemimpinnya, Mohammed Zayed Al Nahyan.
“Indonesia ingin mengambil bahagian dalam pembangunan jet pejuang generasi kelima Kaan dan pembangunan kapal selam bersama industri pertahanan Turki,” kata Encik Prabowo pada Khamis tanpa mengulas lanjut, lapor agensi berita Indonesia, Antara.
Encik Erdogan tidak memberikan ulasan khusus mengenai jet pejuang tersebut, namun berkata kedua-dua pemimpin telah “meneliti projek-projek yang sedang berlangsung dan peluang kerjasama baharu termasuk pengeluaran bersama dalam industri pertahanan”, lapor Jakarta Globe.
Jet pejuang Kaan yang berenjin kembar dan dilengkapi dengan ciri halimunan (stealth) dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries, sebuah pengeluar senjata milik negara Turki, sejak 2010. Ia direka bagi menggantikan jet F-16 dan bakal menjadi jet pejuang pertama buatan tempatan negara itu. Syarikat aeroangkasa British, BAE Systems, merupakan subkontraktor dalam projek berkenaan.
Penerbangan sulung dan kedua Kaan disempurnakan pada 2024 dan ia dijangka memasuki fasa pengeluaran tidak lama lagi, dengan penghantaran kepada Tentera Udara Turki dijangka bermula sekitar 2028 atau 2029, menurut Antara.
Negara lain yang turut menyatakan minat untuk menyertai pembangunan Kaan atau membeli pesawat tersebut termasuk Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi.
Dalam kenyataannya pada Khamis, Encik Prabowo turut mengumumkan, tanpa butiran lanjut, bahawa Indonesia dan Turki telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah syarikat pertahanan usaha sama.
Beliau berada di Turki atas jemputan Encik Erdogan, yang sebelum ini mengunjungi Indonesia pada Februari.
Semasa memegang jawatan Menteri Pertahanan di bawah pentadbiran terdahulu Encik Joko Widodo, Presiden Prabowo telah memeterai beberapa perjanjian dengan beberapa negara seperti Perancis untuk memperoleh peralatan ketenteraan bagi menggantikan peralatan Indonesia yang berusia puluhan tahun.
Indonesia telah membeli sebanyak 42 jet pejuang Rafale dari Perancis bernilai AS$8.1 bilion (S$10.68 bilion) — enam daripadanya dijangka dihantar tahun hadapan — sebuah pesawat pengangkut Airbus A400M buatan Eropah serta 12 dron baharu dari Turkish Aerospace bernilai AS$300 juta (S$395.71 juta).
Indonesia turut melahirkan komitmennya pada 2023 untuk membeli 24 jet pejuang F-15 dari Boeing dan 24 helikopter pengangkut dari Lockheed Martin di Amerika Syarikat, masing-masing bagi jumlah yang tidak didedahkan.
Menurut Nuclear Threat Initiative, sebuah organisasi berpangkalan di Washington, Indonesia memiliki empat kapal selam dalam armadanya — kapal selam kelas Cakra yang lebih lama dan kapal kelas Nagapasa.
Pada Mac tahun lalu, syarikat Naval Group dari Perancis dan pembina kapal milik negara Indonesia, PT PAL, menandatangani kontrak bagi penghantaran dua kapal selam Scorpene yang akan dibina di Indonesia.
Di samping itu, Turki mencatat kejayaan dengan kapal selam kelas Reis miliknya dan telah mula menggunakan kapal pertama daripada enam yang dirancang pada tahun lalu. Kapal selam kelas Reis itu dilengkapi sistem pendorongan bebas udara, yang membolehkan kapal selam bukan nuklear beroperasi tanpa memerlukan oksigen dari atmosfera.
Encik Prabowo dijadual melawat Mesir pada Jumaat, sebelum meneruskan lawatannya ke Qatar dan Jordan, lapor Antara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.