Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia mahu sambut pelancong, namun tidak tergesa-gesa beralih ke tahap endemik: Jokowi

Kadar vaksinasi yang agak rendah - sekitar 61% penduduk baru dapatkan dos pertama - adalah sebab mengapa Indonesia perlu berhati-hati mengatur langkah ke tahap endemik, jelas Presiden Jokowi dalam wawancara ekslusif bersama Mediacorp.

Anggaran Waktu Membaca:

LOMBOK: Segak bergaya dalam pakaian perlumbaan serba hitam, Presiden Indonesia Joko Widodo menekan minyak motosikal Kawasaki miliknya yang sudah diubah suai di garis permulaan Litar Jalanan Antarabangsa Mandalika.

Beliau menunggu selama lebih sejam untuk hujan berhenti, dan tidak sabar untuk menguji litar perlumbaan 4.3km itu di Lombok, wilayah Nusa Tenggara Barat.

Pada Jumaat (12 Nov), Encik Widodo melancarkan litar yang dibina khas bagi menempatkan Kejohanan Superbike Dunia minggu depan, dan Grand Prix MotoGP pada Mac 2022.

Indonesia berharap acara-acara perlumbaan itu dapat membantu memulihkan industri pelancongan negara tersebut yang teruk dibadai COVID-19.

"Mandalika adalah destinasi baru dan kami ingin mempromosikannya supaya seluruh dunia tahu tentang Mandalika. Kami berharap ini boleh mula menarik pelancong untuk datang ke Indonesia, dan kami berharap ini boleh menjadi titik pertumbuhan ekonomi baru bagi Lombok," kata pemimpin Indonesia itu dalam temu bual eksklusif dengan Mediacorp.

Penganjur perlumbaan telah memperuntukkan 25,000 tiket untuk acara Superbike Dunia, dan Encik Widodo menjangkakan penonton bukan sahaja dari Indonesia, tetapi juga antarabangsa.

Bulan lalu, Indonesia membuka semula sempadannya kepada 19 negara terpilih, menawarkan sinar harapan kepada sektor pelancongan. Lebih banyak usaha untuk mengurangkan sekatan sempadan dijangkakan, sedang kes COVID-19 mula terkawal di Indonesia.

Encik Widodo berkata beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong tentang bagaimana dan bila kedua-dua negara boleh membuka semula sempadan apabila mereka bertemu nanti.

Kedua-dua pemimpin dijangka bertemu di Bintan, wilayah Kepulauan Riau untuk Retreat Pemimpin.

Presiden Indonesia yang juga mesra dikenali sebagai Jokowi itu kali terakhir bertemu dengan PM Lee di Singapura pada 8 Oktober 2019 bagi pertemuan tahunan yang dianjurkan untuk memperkukuh hubungan dua hala. Mereka tidak mengadakan retreat sejak itu ekoran pandemik koronavirus.

"Kami akan membincangkan aturan koridor perjalanan yang kami harap boleh dibuka, tetapi tidak di seluruh Indonesia," katanya.

“Mungkin, (antara) Bintan dengan Singapura, atau Bali dengan Singapura, Jakarta dengan Singapura, misalnya. Tetapi sekali lagi, semua ini perlu beransur-ansur," tekan Encik Widodo.

Pada Rabu, Indonesia dan Malaysia bersetuju untuk memulakan aturan koridor perjalanan antara kedua-dua negara, dengan butirannya akan ditentukan kemudian.

TIDAK TERGESA-GESA BERALIH KE TAHAP ENDEMIK

Pada 25 Okt, Indonesia menyaksikan status risiko COVID-19 negara itu diturunkan ke tahap satu oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.

Pun begitu, Encik Widodo berkata beliau bimbang tentang kemungkinan berlaku lonjakan baru dalam jumlah kes selepas cuti akhir tahun.

Ini kerana kadar vaksinasi Indonesia tidak cukup untuk mengekang lonjakan kes baru, katanya kepada Mediacorp.

"Vaksinasi di Indonesia, dos pertama masih pada 61 peratus. Itu masih belum mencukupi," katanya.

"Bagi jumlah keseluruhan dos, sudah capai 211 juta yang sudah diagihkan. Namun, itu pun tidak memadai. Oleh kerana itu, (vaksinasi) perlu dilengkapi dengan protokol kesihatan COVID-19 yang ketat."

Encik Widodo menambah negara itu tidak akan tergesa-gesa untuk beralih daripada keadaan pandemik kepada endemik.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan peringkat endemik sebagai penularan penyakit yang wujud secara konsisten namun terhad kepada kawasan tertentu, menjadikan penyebaran penyakit itu boleh diramal.

Pemerintah sedang menyediakan strategi bagaimana untuk hidup dengan COVID-19.

Encik Widodo telah mengarahkan pihak berkuasa kesihatan untuk merangka strategi hidup bersama COVID-19, menumpukan kepada pelaksanaan protokol kesihatan melalui penggunaan aplikasi pengesanan kontak PeduliLindungi di seluruh negara.

Terdapat juga ujian yang lebih disasarkan untuk tujuan epidemiologi, dan strategi rawatan yang bertujuan untuk mengurangkan kematian akibat COVID-19.

"Semua akan dilakukan secara berperingkat. Kami, Indonesia, tidak mahu tergesa-gesa ke arah negara endemik. Kami mahu merancang dengan teliti. Terdapat peralihan daripada pandemik kepada endemik. Kami akan beralih kepada keadaan endemik apabila kami benar-benar bersedia, " kata Encik Widodo.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan